Wednesday, April 15, 2009

Renungan Buat Muslimah.....

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah..-Riwayat Muslim, al-Nasai, Ibn Majah.

Jika berabad lalu wanita dipandang seperti barangan yang rendah nilainya, kini wanita bukan sahaja seiring dengan golongan lelaki, malah adakalanya kedudukannya menandingi golongan lelaki. Jika pada zaman Jahiliyyah wanita hanyalah sebagai alat hiburan, tidak diberi hak yang sepatutnya dan di pandang sebagai sesuatu yang membawa sial sehingga anak perempuan di tanam hidup-hidup, dengan kedatangan Islam, martabat wanita atau muslimah telah diangkat dan hak mereka dikembalikan.

Namun, Islam telah menggariskan panduan yang perlu diikuti oleh golongan muslimah. Antaranya, hendaklah golongan muslimah ini menjaga akhlak, dan memelihara maruah mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran: “katakan kepada wanita beriman, hendaklah mereka memelihara pandangan dan kelakuan mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan kecuali yang (biasa) terlihat. Hendaklah mereka melabuhkan tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali kepada suami......”- an-Nur:31 Berdasarkan ayat tersebut, Islam telah meletakkan satu garis panduan yang perlu dipatuhi oleh golongan muslimah agar martabat mereka tidak tercalar.

Hakikatnya, keadaan pada hari ini dilihat jauh berbeza. Muslimah kini seolah-olah lupa pada sejarah terdahulu, tentang bagaimana golongan mereka dipandang hina. Mereka dengan sengaja telah menyingkap kembali tabir silam. Muslimah pada hari ini bukan sahaja telah menjatuhkan martabat mereka yang telah diangkat dengan kedatangan Islam, malah, tanpa disedari mereka sedang menghancurkan martabat tersebut. Keadaan ini terbukti apabila golongan ini tanpa segan silu berpakaian ketat, mendedahkan susuk tubuh mereka, dan bercampur bebas dengan lelaki ajnabi.

Keadaan ini bertambah parah apabila golongan muslimah hari ini semakin alpa dengan sogokan pelbagai hiburan. Mereka lebih bangga menjadikan artis sebagai ‘role model’. Fesyen pakaian, rambut, dan gaya hidup golongan artis menjadi ikutan mereka. Tidak hairanlah sekiranya adakalanya sukar untuk dibezakan antara wanita muslim atau sebaliknya.

Persoalannya, adakah jati diri muslimah yang ditetapkan oleh Islam menyekat kebebasan dan menghalang muslimah untuk berada dalam masyarakat yang semakin moden dan kompetitif? Jawapan inilah yang sebenarnya menilai setinggi mana keimanan kita dan sejauhmana keyakinan kita terhadap Islam. Muslimah sepatutnya sentiasa berwaspada agar tidak melebihi sempadan yang telah ditetapkan sekalipun berada pada kedudukan yang tinggi kerana setinggi mana sekalipun pangkat dan kedudukan seseorang, ia tidak dapat lari dari peraturan yang telah ditentukan oleh Allah.

Muslimah hari ini perlu sedar, kecantikan yang dianugerahkan bukan untuk tontonan umum, sebaliknya kecantikan tersebut perlu dipelihara dan dilindungi agar tidar hilang serinya. Justeru, golongan muslimah perlu berhati-hati dengan istilah-istilah yang boleh merosakkan jati diri mereka seperti istilah ‘kebebasan, kemodenan, dan persamaan hak’. Sebaliknya, muslimah hendaklah bijak menyesuaikan diri dengan keadaan ini tanpa perlu mengorbankan prinsip sebagai seorang wanita solehah.

nukilan,
Izdihar Omar

11 Jun 2007/25 Jamadil akhir 1428

No comments: