Monday, April 4, 2011

Industri halal bernilai RM15b Oleh Badrila Jamlus bisnes@hmetro.com.my

NDUSTRI halal di negara ini diyakini mampu menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 dengan bersandarkan kepada permintaan berterusan dan potensi pasaran produk halal di seluruh dunia.

Ketika ini sektor industri halal negara dianggarkan bernilai kira-kira RM15 bilion dan dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh lima peratus setahun.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, sektor makanan dan perkhidmatan halal ketika ini menyumbang kurang daripada dua peratus kepada KDNK negara.

“Produk halal kini menguasai kurang daripada 10 peratus jumlah dagangan dunia, sekali gus membuktikan produk halal tidak sampai kepada pasarannya sedangkan jumlah pengguna Islam di seluruh dunia kira-kira 1.7 bilion dan mempunyai potensi besar untuk meneroka pasaran China, India serta negara bukan Islam lain.


“Kami yakin permintaan terhadap produk halal semakin meningkat berikutan kesedaran orang ramai mengenai kelebihan produk halal yang bersih dan suci menerusi usaha promosi dijalankan kerajaan sejak lebih empat tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Forum Halal Dunia (WHF) ke-6 dan pelancaran Indeks Siri Makanan Halal SAMI oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, populasi penduduk Islam yang kian berkembang seluruh dunia turut mempunyai kesan besar terhadap permintaan untuk produk halal pada masa depan.

Sementara itu, Abdullah berkata penyelidikan dilakukan WHF tahun lalu mendapati, industri makanan halal dunia bernilai 1.9 trilion (AS$641 bilion) dan jika digabungkan dengan industri farmaseutikal, kosmetik dan pengembaraan, ia bernilai lebih AS$2.3 trilion (RM6.9 trilion).


Beliau berkata, sektor kewangan Islam serta industri halal turut menyaksikan pertumbuhan antara 15 dan 20 peratus setahun dan inisiatif untuk menggabungkan kedua-dua industri mampu menjadikan Malaysia sebagai peneraju di peringkat global.

No comments: