Monday, December 27, 2010

DPIM sedia membeli saham QSR dan KFC

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sedia menubuhkan sebuah konsortium untuk membeli saham QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) sekiranya Johor Corporation (JCorp) berkeras mahu menjual kedua-dua syarikat tersebut.

Setiausaha Agung DPIM, Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, langkah itu terpaksa dilakukan supaya kedua-dua syarikat berkenaan terus berada di bawah pemilikan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Beliau berkata, antara langkah yang bakal diambil pihak konsortium ialah mendapatkan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) yang berasaskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

"Selain TH, kami juga akan cuba dapatkan bantuan institusi kewangan Islam seperti Bank Islam atau Bank Muamalat, selain ahli korporat Islam yang berjaya.

"Selain itu, semua ahli DPIM memberi komitmen yang amat tinggi untuk mengumpul dana mereka sendiri bagi tujuan ini.

"Bagi kami, tiada yang lebih besar selain berjihad memastikan hak perniagaan milik Islam terpelihara," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sebelum ini, DPIM meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menyelamatkan QSR dan KFCH daripada dijual oleh JCorp bagi melindungi kepentingan strategik milik orang Melayu di negara ini.

Kisah mengenai JCorp mula menarik perhatian apabila menerima cadangan pengambilalihan daripada pihak luar, tetapi semua cadangan itu ditolak dan kemuncaknya Pengerusi QSR serta KFCH, Tan Sri Muhammad Ali Hashim bakal disingkirkan menjelang mesyuarat agung luar biasa konglomerat itu Januari ini.

Ridhuan Tee berkata, DPIM terpaksa bangkit mempertahankan QSR dan KFCH daripada jatuh ke tangan orang bukan Islam kerana ia amat berkaitan dengan soal penyediaan makanan halal serta pemeliharaan makanan daripada sumber yang was-was.

Beliau berkata, ia bukan sahaja melibatkan di kalangan umat Islam di negara ini, malah turut membabitkan beberapa negara luar.

"Ini kerana, KFCH berjaya mengembangkan sayap perniagaannya di India, Kemboja, Brunei dan Singapura," katanya.

Mengulas isu sama, Pengarah Biro Ekonomi DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, pihaknya akan berusaha mengumpul dana melalui konsortium yang bakal ditubuhkan itu.

No comments: