PUTRAJAYA 13 Dis. — Malaysia dan New Zealand hari ini mencapai persetujuan bagi pelaksanaan piawaian Malaysia Meat and Meat Products Halal Requirements (Overseas Market Access Notification) Notice 2010 ke atas produk pengeluaran ladang ternakan di New Zealand untuk tujuan pengeksportan ke Malaysia.
Majlis menandatangani persetujuan tersebut diadakan di sini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Venterinar Malaysia, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata, pemakaian piawaian itu dijangka bermula Januari tahun depan dan jika usaha itu berjaya ia akan dikembangkan ia ke negara lain termasuk Eropah, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.
"Dengan persetujuan ini, rakyat Malaysia tidak perlu lagi merasa ragu dengan hasil ternakan dan tenusu dari New Zealand yang dijual di dalam negara.
"Dengan persetujuan ini juga, pihak berkuasa New Zealand akan dapat meningkatkan penglibatan mereka untuk memantau loji-loji ternakan di New Zealand yang ingin mengeksport produk mereka ke Malaysia dengan mengguna pakai piawaian halal dan keselamatan makanan dari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu.
Turut hadir, Ketua Pengarah New Zealand Food Safety Authority, Wayne MacNee; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Kersey dan Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar.
Dr Abd Aziz berkata persetujuan tersebuat bakal meningkatkan jumlah eksport daging dan produk tenusu New Zealand ke Malaysia yang turut dapat menampung keperluan rakyat di negara ini.
Beliau berkata sebelum ini 16 daripada 30 ladang New Zealand yang membekalkan produk ke Malaysia dihentikan pengeksportan mereka kerana tidak memenuhi syarat halal yang ditetapkan, menyebabkan jumlah nilai pengeksportan ke Malaysia berkurangan kepada RM130 juta setahun berbanding jumlah yang lebih besar sebelum ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment