Monday, December 27, 2010

Kompleks Perlis Halal Park siap Jun 2011

KANGAR 15 Dis. - Pembinaan kompleks Perlis Halal Park fasa satu yang berharga kira-kira RM50 juta yang melibatkan tapak bina seluas 10.8 hektar di Padang Besar dijangka siap sepenuhnya Jun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa negeri, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, projek itu dirancang oleh Kerajaan Perlis untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Projek itu masih dalam pelaksanaan. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah mengadakan rundingan awal dengan syarikat seperti Nestle (M) Bhd. dan beberapa syarikat yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park untuk beroperasi di Perlis Halal Park.

"Di samping itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand telah mengenal pasti 54 syarikat dari selatan Thailand yang mengeluarkan produk halal untuk menjalin kerjasama strategik dengan Perlis Halal Park," ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu sebagai menjawab menjawab soalan lisan Khairi Hassan (BN-Mata Ayer) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menyentuh status kerjasama antara Kerajaan Perlis dengan Thailand dalam pembangunan Perlis Halal Park pula, beliau berkata, sehingga kini belum ada perjanjian secara khusus dimeterai oleh kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri telah memasukkan Perlis Halal Park sebagai projek pembangunan utama di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan status pembangunannya dimaklumkan dalam setiap mesyuarat IMT-GT," jelasnya

No comments: