Monday, December 27, 2010

Malaysia-New Zealand meterai perjanjian patuh standard halal


PUTRAJAYA 13 Dis. – Malaysia dan New Zealand hari ini menandatangani surat persetujuan bagi pemakaian Malaysia Meat and Meat Products Halal Requirements untuk ladang-ladang ternakan di negara itu bagi tujuan pengeksportan produk daging halal ke negara ini berkuat kuasa tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, dengan persetujuan itu, eksport daging dan produk tenusu dari New Zealand akan meningkat sekali gus dapat menampung keperluan rakyat di negara ini.

‘‘Menerusi perjanjian ini pihak berkuasa New Zealand dapat meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam memastikan produk yang dibenarkan dieksport ke Malaysia adalah halal.

‘‘Sebahagian besar pusat penyembelihan di New Zealand tidak menepati standard halal Malaysia, dulu banyak yang eksport daging ke sini tetapi terpaksa dihentikan kerana tidak akur dengan standard MS 1500:2009 ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani surat persetujuan tersebut di sini.

New Zealand diwakili Ketua Pengarah Keselamatan Makanannya, Wayne McNee.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Kersey.

Abd. Aziz berkata, pembaharuan yang disifatkan unik itu merupakan pencapaian tertinggi negara dalam memastikan negara pengeksport mematuhi standard protokol halal yang ditetapkan.

‘‘Kita akan perluaskan lagi peraturan ini ke Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat agar mematuhi piawaian dari segi halal dan keselamatan makanan yang telah kita ditetapkan dalam draf perjanjian tersebut,” katanya.

Serentak itu katanya, dua orang pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di pejabat Kedutaan Malaysia di New Zealand bagi memantau operasi pusat penyembelihan di negara itu.

No comments: