Monday, December 27, 2010

Pengusaha Islam perlu dapatkan sijil halal Jakim

KOTA KINABALU 6 Dis. - Peniaga dan pengusaha Islam di negeri ini diminta supaya memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran berkata, mereka yang mendapat sijil halal itu pula perlu menjaga sepenuhnya standard dan kualiti makanan dan produk gunaan Islam yang ditetapkan.

''Ini kerana bukan semua pengguna Islam yakin penuh dengan logo halal, walaupun ia dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan Persekutuan.

''Ia kesan rentetan beberapa peristiwa salah laku peniaga dan pengusaha khususnya bukan Islam yang secara terang-terangan mahupun tidak, menyalahgunakan kelulusan halal yang telah diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Halal Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Saadah, Wisma Muis di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Amri Suratman.

Nasir berkata, gesaan kerajaan supaya peniaga dan pengusaha produk gunaan mendapatkan sijil dan logo halal adalah agar segala proses pengeluaran, penyediaan serta pemasaran produk menepati piawaian standard halal.

Katanya, langkah itu akan membuka peluang para peniaga dan pengusaha Islam memajukan bersama industri halal negara dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 314 buah premis makanan dan gunaan di negeri ini telah memperoleh sijil halal daripada Jawatankuasa Makanan, Gunaan Islam Negeri Sabah yang dianggotai JHEAINS dan beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain.

Daripada jumlah itu, katanya, 54 buah merupakan restoran hotel, rumah sembelihan (24), restoran biasa (93), produk (124) dan pembungkusan semula dan bahan gunaan masing-masing sebanyak 19 buah premis.

Sementara itu, Nasir menyeru pihak berkuasa berkaitan makanan dan gunaan Islam di negeri ini supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih kerap terhadap premis yang menjual atau menawarkan produk dan perkhidmatan.

Katanya, pemantauan tersebut perlu dilaksanakan terutama membabitkan premis perniagaan yang telah memperoleh sijil dan logo halal.

No comments: