Monday, July 4, 2011

Halal: Kita baru kuasai 1 peratus pasaran

KUALA LUMPUR 29 Jun- Malaysia kini hanya menguasai kira-kira satu peratus daripada pasaran makanan halal dunia yang berpotensi besar bernilai AS$680 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Menurut beliau, peluang berkenaan boleh dan patut direbut melalui peningkatan syarikat pengeluar produk halal berbanding 1,679 syarikat sedia ada yang memperoleh pensijilan halal tahun lalu.

Bilangan berkenaan membabitkan 64 peratus produk makanan proses, penjagaan kesihatan (11 peratus), bahan-bahan produk (enam peratus) serta kosmetik dan penjagaan diri (enam peratus).

"Saya yakin syarikat yang mendapat pensijilan halal ini akan meningkat dan mampu menguasai pasaran produk makanan premium dan pengeluar bahan mentah selain produk bukan makanan," katanya.

Tambah Jamil, HDC membangunkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal yang bakal berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pengguna dan pelabur mendapatkan maklumat berkaitan industri tersebut.

HDC juga katanya turut memperkenalkan aplikasi halal menerusi telefon pintar iPhone bagi membolehkan pengguna mencari lokasi premis makanan dan restoran yang menyajikan makanan halal menerus Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Selain berfungsi sebagai pusat rujukan halal HDC juga komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan halal dan diberi tanggung jawab untuk mempromosikan lapan taman halal di negara ini.

Mereka adalah Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Hab Halal Selangor, Pulau Indah, Taman halal Serkam, Melaka, Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan, Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak, Techpark @ Enstek, Negeri Sembilan, Taman Perindustrian Halal, Pulau Pinang dan Taman Halal @ POIC, Sabah.

Tambah Jamil, HDC juga berjaya menarik pelaburan daripada Australia, Pakistan dan Jepun.

"Dalam usia empat tahun, HDC sudah berjaya menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal dan kini fokus kami adalah membangunkan industri halal.

"Dengan itu pelaksanaan fasa kedua pelan induk HDC amat penting kerana setelah dikenali sebagai hab halal, Malaysia juga berpotensi untuk membekalkan produk halal," katanya.

Bagi memastikan industri halal dapat dibangunkan secara berterusan di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap industri itu, HDC menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan latihan kepada syarikat yang berminat dalam industri halal.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua organisasi tersebut melibatkan empat bidang utama iaitu program latihan dan perundingan, hubungan antara agensi dan industri, pembangunan dan perkongsian ilmu serta promosi halal Malaysia.

"MoU untuk tempoh dua tahun ini mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pensijilan halal selepas perkongsian maklumat dan pengetahuan dilaksanakan," tambah Jamil lagi.

Kursus yang ditawar mengikut struktur dan keperluan industri itu juga melibatkan syarikat antarabangsa dari Perancis, Turki dan Rusia.

No comments: