Monday, July 4, 2011

Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak


Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak



MIRI 3 Julai - Orang Islam di negeri ini diingatkan agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat ini keputusan Jakim adalah muktamad meskipun syarikat pengeluar produk membuat penafian.

"Pihak Jakim memutuskan bahawa ia tidak halal kerana mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi walaupun syarikat pengeluarnya dari New Zealand mendakwa telah menjalankan penyelidikan kimia dan mengesahkan ia tidak mengandungi bahan tersebut.

"Justeru, kita akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk memberi amaran kepada orang Islam supaya tidak membeli atau menggunakan produk tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Wakaf Masjid Senadin bagi mengumpul dana RM4 juta untuk merealisasikan pembinaan masjid tersebut di sini, hari ini.

Mengenai Masjid Senadin, Daud memberitahu, pembinaan masjid di atas kawasan seluas 2.5 ekar itu mampu menampung kira-kira 2,000 orang jemaah pada satu-satu masa dan bakal menjadi mercu tanda pembangunan Islam di wilayah utara Sarawak.

Katanya, pembinaan masjid yang dijangka bermula tahun ini dan siap pada 2013 tidak boleh bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat perlu mencari inisiatif untuk mengumpul dana bagi membinanya.

No comments: