Tuesday, July 26, 2011

Laksana perubatan halal dengan bersungguh-sungguh: Harussani

Laksana perubatan halal dengan bersungguh-sungguh: Harussani


2011/07/26
KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, meminta semua pihak di negara ini bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perubatan halal untuk rakyat beragama Islam.

Beliau berkata, walaupun ubat yang mengandungi unsur tidak halal diharuskan kepada umat Islam dalam keadaan "darurah" (darurat) dan "istihalah" (bahan yang sudah mengalami transformasi kepada bahan lain yang berbeza daripada asalnya sama ada dari segi sifat, zat dan nama), namun umat Islam perlu berusaha untuk mencari alternatif bagi menggantikan produk tersebut.
"Kalau terus guna atas dua alasan ni, sampai bila pun tak berubah. Kalau kita usahakan boleh dapat (alternatif kepada ubat dari sumber tidak halal). Kalau tak usaha, takkan sampai 500 tahun kita nak kata darurat?" katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan selepas persidangan meja bulat Farmaseutikal Yang Halal: Isu-isu dan Cabaran di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini, hari ini.

Harussani berkata, isu perubatan halal perlu dikaji secara menyeluruh dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut syariat Islam.

"Kita nampak kerajaan selalu mengutamakan Perlembagaan...Islam sebagai agama rasmi negara maka setiap pertikaian dalam masalah membabitkan agama, Islam mesti didahulukan. Tapi kenapa kita kalah? Sebab kita tak serius.

"Kita kena serius, IKIM pun ada. IKIM ini institusi kerajaan jadi biarlah kita usaha sungguh-sungguh. Beritahu ini usaha kami dan ini yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.
Menjawab soalan anggota persidangan yang lain mengenai hukum bahan dari sumber halal tetapi apabila diproses sudah berubah menyerupai sifat bahan lain yang berasal dari sumber tidak halal, Harussani berkata hukumnya tetap halal.

Katanya, umat Islam tidak mempunyai masalah untuk menggunakan bahan, malah katanya itulah yang perlu diusahakan.

"Saya rasa tidak mustahil untuk kita mencari bahan alternatif jika kita usahakan betul-betul. Pengkaji kita banyak, ahli farmasi banyak, profesor pun banyak, cipta sesuatu yang baru," katanya. - BERNAMA

No comments: