Thursday, July 28, 2011

Pengeluar ”bir halal” dinasihat dapatkan sijil halal Jakim

25/07/2011 10:34pm

KUALA LUMPUR 25 Julai – Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pengeluar minuman ringan malta atau ”bir halal” mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri (MAIN).

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam selepas muzakarah jawatankuasa itu pada 16 dan 18 Jun lepas memutuskan minuman tersebut diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak.

"Alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar yang sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pelancaran Ihya” Ramadhan Peringkat Kebangsaan 2011 di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan.

Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lepas, susulan laporan akhbar mengenai penjualan minuman berkenaan yang semakin popular pada kalangan umat Islam di negara ini. – Bernama

No comments: