Tuesday, July 12, 2011

Jakim, MAIN tak iktiraf produk tidak halal

KUALA LUMPUR 11 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tidak akan mengiktiraf serta mengeluarkan sijil dan logo halal terhadap mana-mana produk tidak halal yang menggunakan istilah halal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan piawaian halal yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan.

Menurut beliau, produk terbabit antaranya ialah bak kut teh, bir, bacon dan rum yang sebelum ini pernah dilabel dengan istilah halal sehingga mengelirukan orang ramai.

"Nama-nama yang haram ke atas produk halal seperti bak kut teh, bir, bacon serta rum tidak dibenarkan. Untuk itu, Jakim dan MAIN tidak akan iktiraf dan beri pensijilan serta logo halal. Hal ini termaktub di dalam Rang Undang-Undang Perihal Dagangan 2011.

"Dalam perkembangan lain, mengenai isu sijil dan logo halal juga, mengikut undang-undang sedia ada pensijilan dan logo halal yang dikeluarkan pihak luar selain Jakim dan MAIN adalah tidak dilarang asalkan pengesahan halal itu mengikut hukum syarak.

"Namun, selepas rang undang-undang ini diluluskan, hanya pensijilan dan logo oleh Jakim dan MAIN sahaja yang dibenarkan. Ini bermakna, pengesahan oleh pihak lain tidak lagi dibenarkan. Ia terpakai di seluruh negara dan telah mendapat kelulusan dan perkenan raja-raja, sultan serta Yang Dipertua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang tersebut yang kemudiannya diluluskan di Sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Rohani berkata, pemberian kuasa sepenuhnya kepada Jakim dan MAIN dalam pengeluaran sijil serta logo halal dilakukan kerana terdapat banyak kekeliruan dalam kaedah pensijilan sebelum ini.

"Banyak keraguan termasuk dikatakan sijil dan logo halal dikeluarkan secara sewenang-wenangnya. Justeru, dengan kelulusan rang undang-undang itu, pengusaha perlu melihat tarikh luput pensijilan yang diperoleh. Kalau sudah tamat, mereka perlu memohon untuk mendapatkan sijil halal di Jakim atau MAIN," katanya.

Berhubung peraturan pengeluaran sijil dan logo halal, ujar beliau, semua permohonan yang diterima disemak oleh Jakim dan MAIN dan pengeluaran sijil akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembayaran yuran permohonan terbabit.

Dalam pada itu, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2011 yang terkandung insentif iaitu kadar cukai pendapatan diturunkan daripada 38 peratus kepada 25 peratus untuk medan minyak marginal.

Ia diluluskan selepas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin selesai menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang berkenaan.

Dewan Negara juga meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2011, Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2011 serta Rang Undang-Undang Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

No comments: