Sunday, July 10, 2011

Kastam rampas daging beku ekor lembu diragui halal

08/07/2011 10:41pm

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

PELABUHAN KLANG 8 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas sejumlah 22,750 kilogram ekor lembu dalam bentuk daging beku bernilai RM342,150 yang diragui status halal selepas memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Utara semalam.

Pemangku Pengarah JKDM negeri, Mohd. Pudzi Man berkata, pihaknya memeriksa kontena tersebut yang diisytiharkan mengandungi muatan lobak merah pada pukul 10 pagi semalam.

“Setelah diperiksa, kami mendapati hanya tiga baris pertama dalam kontena itu mengandungi muatan lobak merah. Baki muatan kontena itu adalah daging ekor lembu beku yang dibungkus di dalam kotak dipercayai dibawa dari Argentina serta tidak mempunyai sebarang sijil pengiktirafan halal,” katanya pada sidang akhbar di Wisma JKDM di sini hari ini.

Mohd. Pudzi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - Utusan

No comments: