Monday, August 2, 2010

76 premis makanan mempunyai sijil, logo halal Jakim

KUALA LUMPUR 30 Julai - Hanya 76 premis makanan termasuk kopitiam, restoran dan hotel di negara ini mempunyai sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia berdasarkan laman web rasmi Jakim yang memaparkan senarai lengkap maklumat pengusaha kopitiam, restoran dan hotel yang telah mendapat sijil dan logo halal itu.

Adalah mengejutkan apabila didapati hanya tiga kopitiam yang berdaftar dan memperolehi sijil serta logo halal, sementara restoran (39) dan hotel (34).

Tiga kopitiam yang memperoleh sijil serta logo halal Jakim adalah Jonker Walk Kopitiam, Pak Hailam Kopitiam cawangan Kepong Baru dan Taman Midah, Cheras.

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar berkata, pihaknya sentiasa mengemaskini senarai lengkap pengusaha kopitiam, restoran dan hotel yang telah mendapat sijil dan logo halal di laman web itu dari semasa ke semasa.

"Jakim menyedari isu halal ini bukan perkara yang kecil dan ia perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Laman web tersebut disediakan bagi membantu masyarakat mengetahui status halal di premis-premis makanan di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan forum Utusan Malaysia hari ini menyiarkan keluhan seorang pembaca yang meminta Jakim menyiarkan iklan senarai kopitiam, restoran dan hotel berstatus halal.

Menurut Saimah, laman web tersebut turut menyediakan maklumat mengenai syarikat, produk, premis makanan, menu dan rumah sembelihan yang telah memperolehi sijil serta logo halal daripada pihak Jakim.

Selain itu, katanya, turut dipaparkan senarai premis makanan yang ditarik balik sijil halal dan yang tidak memperbaharui sijil halal.

"Halal bukan sahaja dilihat dari sudut keagamaan tetapi satu komponen penting dalam dunia perniagaan termasuk pasaran halal global, sebab itu negara bukan Islam juga mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka," katanya.

Beliau berkata, Jakim mengiktiraf dan memberi takrifan halal kepada sesebuah syarikat pengusaha yang dinilai berdasarkan hukum-hukum syarak dalam Islam.

Katanya, Jakim tidak akan berkompromi dan sewenang-wenangnya meluluskan permohonan sijil dan logo halal kepada pengusaha yang tidak menepati standard yang telah ditetapkan.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang musykil terhadap produk dan perkhidmatan yang terdapat di pasaran supaya membuat aduan melalui laman web tersebut di alamat www.halal.gov.my.

No comments: