Monday, August 2, 2010

Hanya Jakim boleh keluar sijil halal

KUALA LUMPUR 30 Julai - Pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini akan memastikan hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sahaja boleh mengeluarkan sijil halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, apabila pindaan diluluskan syarikat-syarikat swasta tidak lagi boleh mengeluarkan sijil halal.

''Pada masa ini tidak ada undang-undang yang boleh menghalang syarikat swasta daripada mengeluarkan sijil halal dan pindaan terhadap APD ini akan memastikan bahawa hanya Jakim dan MAIN saja yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menutup Mahrajan Huffaz Belia MABIMS di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Jamil Khir memberitahu, pindaan APD untuk memasukkan penetapan bahawa syarikat swasta tidak boleh mengeluarkan sijil halal dibuat berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan penyelesaian masalah sijil halal dibuat pada tahun ini juga.

Katanya, ini adalah langkah sementara oleh kerajaan bagi memastikan sijil halal yang dikeluarkan benar-benar mengikut syariat Islam.

''Pelbagai perkara berkaitan dengan masalah sijil halal ini akan dapat diselesaikan apabila pindaan ini diluluskan oleh Parlimen dan ia juga memberi kuasa kepada Jakim dan MAIN untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.

''Penguatkuasaan ini akan dapat diambil terhadap syarikat yang mengeluarkan sijil halal dan restoran atau pengusaha kopitiam yang menunjukkan tanda halal yang bukan dikeluarkan oleh Jakim ataupun MAIN," katanya.

Jamil Khir memberitahu, pada masa yang sama Jakim sedang mendraf Akta Halal yang memberi kuasa penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap jabatan tersebut dalam perkara berkaitan pengeluaran dan penyalahgunaan sijil halal.

Ujar beliau, dijangkakan draf Akta Halal itu dapat disiapkan pada tahun depan dan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara.
utusan malaysia

No comments: