Wednesday, August 25, 2010

Persatuan Hotel Selesaikan Isu Sijil & Logo Halal

PETALING JAYA: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata mereka kini telah menyelesaikan isu pengeluaran sijil dan logo halal kepada hotel-hotel apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), majlis agama Islam negeri (Main)bersetuju untuk menyeragamkan syarat-syarat pengeluarannya.

"Kami telah berjaya mencapai persefahaman bersama dalam mesyuarat kumpulan fokus yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri semalam," kata Presiden MAH, Datuk Mohd Ilyas Zainal Abidin.

Menurutnya, selain MAH, mesyuarat itu turut dihadiri wakil Jakim, HDC, Main dan wakil industri.

Beliau berkata, MAH menerima baik cadangan untuk menyeragamkan syarat, piawaian, standard dan kreteria pengeluaran sijil dan logo halal itu menerusi rumusan perbincangan dalam mesyuarat kumpulan fokus yang diadakan itu.

Ini kerana sebelum ini terdapat beberapa syarat, piawaian, standard dan kreteria yang dikeluarkan oleh JAKIM dan Main tidak seragam yang menyebabkan hotel-hotel berhadapan dengan masalah untuk memperolehi sijil dan logo halal.

“Segala piawaian, standard dan kriteria melibatkan pengeluaran sijil dan logo halal akan diseragamkan sejajar dengan dasar-dasar halal.

“Selepas ini, tidak timbul lagi isu berkenaan membabitkan persatuan hotel, Jakim, jabatan agama Islam negeri (Jain) dan Main,” katanya kepada mStar Online Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Ilyas berkata, sijil halal untuk dapur kini boleh dipamerkan di restoran bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna.

“Sebelum ini sijil halal dapur tidak dibenarkan dipamerkan di restoran sehingga menyukarkan pengguna terutama Muslim untuk menilai status itu.

“Tak kan pelanggan kena masuk ke dapur hotel untuk periksa status halal? Bagaimanapun, persetujuan mengenai kaedah baru itu kini memudahkan pelanggan,” ujarnya.

Beliau menambah, orang ramai yang berkunjung ke restoran hotel akan melihat sijil halal dapur hotel merujuk kepada status penyediaan makanan.

Setakat ini, katanya, sebanyak 301 hotel di seluruh negara mendapat status halal bagi dapur, restoran atau kedua-duanya sekali yang diiktiraf Jakim, Jain dan Main.

“Keseragaman ini akan melihat lebih banyak pengusaha hotel untuk memohon sijil halal sekaligus membantu usaha negara menjadi hab halal dunia,” katanya.

Mengenai Akta Halal baru yang dikuat kuasa kelak, Mohd Ilyas berkata, perkara itu akan menambah baik lagi semua perkara melibatkan sijil dan logo halal.

No comments: