Monday, August 2, 2010

Jakim gubal Akta Halal bagi laksanakan sendiri peraturan

0/07/2010 7:19pm

KUALA LUMPUR 30 Julai (Bernama) — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menggubal Akta Halal bagi membolehkan jabatan itu melaksanakan sendiri peraturan berhubung penguatkuasaan sijil dan pengeluaran logo halal yang dijangka pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, walaupun pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini dikira sudah menyeluruh tetapi Jakim perlu diberikan kuasa bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan tersebut.

"Pindaan APD 1972 itu pada kita ia sudah dikira menyeluruh cuma kita perlu sedikit pindaan agar Jakim dapat berdiri sendiri dari segi penguatkuasaan sijil dan logo halal tanpa memerlukan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Mahrajan Huffaz Belia MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) dan pelancaran Tafsir Ar-Rahman versi Mandarin dan buku-buku terbitan Jakim di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata, Akta Halal diperlukan kerana ketika ini tidak ada satu pun akta yang jelas yang mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil dan logo halal yang akhirnya menyukarkan pihaknya bertindak menguatkuasakan peraturan tersebut.

Katanya, melalui APD yang ada, kandungan dalam akta tersebut seakan-akan membenarkan orang yang bukan daripada Jakim juga boleh mengeluarkan sijil halal.

Jelas beliau, APD dan Akta Halal tidak akan dibentang secara serentak di Parlimen kerana pindaan dibuat adalah untuk mengemaskan lagi APD.

Jamil Khir berkata, daripada segi pengalaman dan kebolehan dalam melaksanakan tugas sememangnya telah ada, cuma pihaknya akan memperkukuhkannya dengan penambahan perjawatan dan kakitangan bagi tujuan penguatkuasaan. — Bernama

No comments: