Tuesday, August 24, 2010

Jakim lebih berkuasa

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hanya akan mengambil tindakan ke atas hotel yang tidak mempunyai sijil halal tetapi menyediakan bufet Ramadan setelah menerima laporan penuh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana Jakim lebih berkuasa dan arif dalam menentukan status makanan itu sama ada ia halal atau tidak.

"Buat masa sekarang, kita tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan hanya menunggu laporan daripada Jakim berhubung perkara ini.

"Pihak kementerian hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan mengenai pemalsuan sijil halal atau penipuan sijil serta logo halal manakala selebihnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh Jakim," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan mengenai hotel-hotel di ibu negara yang kini berusaha bagi mendapatkan sijil halal Jakim setelah isu tersebut semakin mendapat perhatian pengguna Islam.

Malah, beberapa pengurusan hotel memaklumkan mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai Jakim yang melakukan pemeriksaan di premis mereka dalam memastikan penyediaan makanan serta minuman adalah halal.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya menerima banyak permohonan daripada hotel di sekitar ibu negara untuk mendapatkan sijil tersebut.

"Masa untuk satu-satu permohonan itu diproses sebenarnya bergantung kepada permohonan itu sendiri. Sekiranya ia lengkap dan tiada masalah, pasti proses yang diambil juga tidak lama.

"Sebelum ini pun pihak Jakim telah memperkenalkan kaedah 'fast-track' bagi membolehkan sesuatu permohonan itu diproses dengan cepat," katanya.

Bagaimanapun, tambah Wan Mohamad, jumlah sebenar hotel yang mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal sehingga kini sukar untuk ditentukan kerana angkanya yang sentiasa berubah.

Sementara itu, pihak pengurusan daripada beberapa hotel di sekitar ibu negara ketika dihubungi menjelaskan, mereka masih dalam proses untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah berbuka puasa di situ.

Pengurus Bertugas di Hotel Vistana, Kuala Lumpur, Vinud Athithan, berkata, bagi menjaga kepentingan orang ramai terutamanya pengunjung yang beragama Islam, pihaknya telah menghantar permohonan sijil halal kepada Jakim walaupun berdepan dengan beberapa kesukaran pada peringkat awal.

Perkara yang sama turut dihadapi oleh Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Jurucakap hotel itu ketika dihubungi memberitahu, pihak pengurusan hotel berkenaan juga telah mengemukakan permohonan kepada Jakim bagi mendapatkan sijil halal tetapi masih belum diketahui statusnya sehingga kini.

No comments: