Tuesday, August 24, 2010

Berita Harian Online | Hotel patut diwajibkan sijil halal

Berita Harian Online | Hotel patut diwajibkan sijil halal

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin dengan laporan media baru-baru ini bahawa majoriti hotel di Malaysia masih tidak mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Laporan akhbar tempatan menyatakan makanan yang dihidangkan dalam bufet Ramadan membabitkan 70 peratus hotel di Lembah Klang tidak halal dan dalam keadaan tertentu alkohol turut digunakan dalam penyediaannya.
Keadaan ini suatu yang amat serius. Ia juga jelas menunjukkan bagaimana isu makanan halal dan haram dipandang ringan pihak hotel dan bersikap tidak menghormati kesucian amalan Islam terutama pada Ramadan yang suci ini.
Amat menyedihkan sekali di Malaysia, Ramadan dikomersilkan dan dijadikan bulan untuk menurut kemahuan nafsu. Hotel, restoran dan tempat makan mempamerkan serta menjual pelbagai makanan.

Hidangan bufet adalah pembaziran, berlebih-lebihan dan seharusnya tidak diambil pada Ramadan.

Ada keperluan untuk satu mekanisme komprehensif iaitu semua hotel dan restoran menghidangkan makanan halal berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, dengan nama dan alamat mereka disiarkan dalam laman sesawang jabatan untuk pemeriksaan atau pengesahan oleh umat Islam.

Hotel dan restoran ini perlu juga diawasi secara berkala oleh Jabatan Agama Islam Negeri selain JAKIM dan pakar teknologi makanan untuk menentukan mereka mematuhi pensijilan halal mereka.
Berhubung perkara ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan harus lebih agresif mengawasi situasi dan bertindak terhadap pengendali yang tidak bertanggungjawab yang melanggar Akta Perihal Dagangan 1972.

Oleh itu, CAP menggesa kerajaan menjadikan satu mandatori bagi pengendali hotel yang menghidangkan makanan untuk orang Islam untuk mendapatkan sijil halal bagi premis mereka supaya hak pengguna tidak diabaikan.

Prosedur berhubung pemprosesan dan pembungkusan makanan halal juga perlu diawasi secara berkala kerana kebanyakan hotel di negara ini menggunakan perkhidmatan pakar asing yang mungkin tidak jelas mengenai konsep makanan halal.

Kini, Kementerian Pelancongan menyokong pesta Ramadan yang berlangsung di I-City, Lembah Klang.

Menjadi kewajipan kementerian yang menyasarkan pesta itu terhadap pengunjung daripada Timur Tengah untuk memastikan semua makanan yang dihidangkan adalah halal.

CAP juga menggesa umat Islam di Lembah Klang dan seluruh negara memastikan tempat berbuka puasa atau untuk acara lain mempunyai sijil halal daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri.

No comments: