Tuesday, August 24, 2010

Banyak hotel mula mohon sijil halal Jakim

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Sebahagian hotel di ibu negara kini giat berusaha bagi mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setelah isu tersebut semakin mendapat perhatian pengguna Islam.

Malah beberapa pengurusan hotel yang dihubungi memaklumkan mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai Jakim yang melakukan pemeriksaan di premis mereka dalam memastikan penyediaan makanan serta minuman adalah halal.

Pengurus Bahagian Makanan dan Minuman, Hotel Concorde Kuala Lumpur, Badrul Hisham Othman berkata, pihaknya telah menjemput Jakim bagi menjalankan pemantauan empat hari lalu selain bagi menerangkan mengenai proses serta syarat-syarat memperoleh sijil halal.

"Pihak Jakim telah menjalankan pemeriksaan ke atas dapur hotel kami dan mendapati syarat-syarat yang ditetapkan adalah memuaskan tetapi terdapat botol sos bertulisan Jepun yang diragui oleh pihak mereka.

"Kami telah dinasihatkan dengan tidak menempah dan menggunakan lagi sos tersebut malah kami juga sensitif berkaitan perkara ini dengan mengasingkan setiap barangan yang tidak halal seperti arak serta jus minuman agar tidak bercampur," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mengenai 24 hotel diragui status halal tetapi masih menyediakan Bufet Ramadan, semalam.

Sementara itu, Eksekutif Bahagian Latihan dan Pentadbiran, The Zon All Suites Residences, Muhamad Rafiqan Abd. Rahman berkata, pihak Jakim telah menjalankan pemantauan terhadap hotelnya tiga hari yang lalu.

Katanya, dalam pemeriksaan itu Jakim mendapati terdapat barangan yang tidak halal iaitu tin arak kosong berada dalam keadaan yang bercampur di ruang pemunggahan barang.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Restoran Hotel Equatorial, Zainal Suat berkata, pihaknya kini menunggu keputusan Jakim setelah jabatan itu melakukan pemeriksaan di premis mereka empat hari lalu.

No comments: