Tuesday, April 19, 2011

HDC, Jakim meterai MoU sedia latihan halal

PETALING JAYA 19 April - Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan latihan kepada syarikat yang berminat dalam industri halal.

MoU tersebut melibatkan empat bidang utama iaitu program latihan dan perundingan, hubungan antara agensi dan industri, pembangunan dan perkongsian ilmu serta promosi halal Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, pemeteraian MoU itu membolehkan industri halal dibangunkan secara berterusan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai industri halal.

"Sebelum ini, terdapat beberapa masalah terutama dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pensijilan halal. Dengan mendapat maklumat yang yang betul serta perkongsian pengetahuan masalah tersebut dapat diatasi.

"MoU ini adalah untuk tempoh dua tahun dan selepas itu skopnya akan dinilai semula," katanya pada sidang akhbar selepas memeterai MoU tersebut yang disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Mashitah Ibrahim.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.

Sehingga kini, HDC telah melakukan 482 sesi latihan kepada beberapa kumpulan sasaran dengan 10,066 syarikat telah menyertai latihan anjurannya sejak 2007.

"Jumlah peserta semakin bertambah dari tahun ke tahun, bagi suku ini sahaja seramai 3,782 peserta telah menamatkan latihan.

"Ia bukan sahaja melibatkan syarikat tempatan tetapi juga syarikat antarabangsa seperti dari Perancis, Turki dan Rusia," jelas Jamil.

Beliau menambah, kursus yang ditawarkan adalah mengikut struktur dan fokus yang diperlukan industri.

"Jakim pula berperanan menilai modul latihan HDC dalam memenuhi standard yang diperlukan.

"Modul yang ditawarkan kami adalah komprehensif bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia," katanya lagi.

sumber utusan 20april2011

Monday, April 11, 2011

Perluas skop sijil halal - Jamil

Oleh Norliza Abd. Rahman
pengrarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 7 April - Badan Persijilan Halal disaran meluaskan lagi skop pensijilan halal kepada produk farmaseutikal dan logistik, selain menumpukan kepada produk makanan dan minuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam bidang perubatan terdapat ramai pemain industri yang sentiasa mencari ruang meneroka untuk mengeluarkan produk halal.

Menurutnya, barang farmaseutikal seperti besi yang hendak dimasukkan ke dalam badan manusia bagi menggantikan tulang yang patah juga misalnya, penting untuk mendapatkan persijilan halal.

"Dulu ubat-ubatan menggunakan sumber gelatin haiwan seperti babi, tetapi sekarang sudah muncul pembekal ubat yang mampu membekalkan kapsul yang halal.

"Ada orang minta sijil halal untuk minyak pelincir, saya tanya kenapa perlu dapatkan sijil halal, rupa-rupanya mekanik hendak tanya dari sudut keyakinan halal itu kerana mereka akan bersembahyang selepas memegang minyak itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Badan Persijilan Halal Luar Negara yang Diiktiraf 2011 dengan dihadiri 56 peserta dari 23 buah negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Persidangan sehari itu bertujuan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu berkaitan pensijilan halal, terutamanya standard halal yang telah dibangunkan dan diguna pakai oleh Malaysia.

Pemahaman jelas terhadap standard itu akan memudahkan Badan Pensijilan Halal luar negara menjalankan tugas pemantauan dan pemeriksaan di rumah-rumah sembelihan dan loji pemprosesan produk berasaskan daging yang dikendalikan.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, terdapat air dari telaga dan bukit dicampur dengan air zam-zam tulen dan dijual di pasaran tempatan.

Tindakan tersebut katanya, dilakukan oleh pihak swasta yang mengambil air dari sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.

"Secara saintifiknya air galian tersebut mempunyai persamaan tertentu dengan air zam-zam dan saya tidak mahu disebabkan persamaan itu, orang ramai ditipu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta 62 penguat kuasa Jakim dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melakukan pemantauan.

"Tindakan ke atas peniaga terbabit boleh diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barang dagangan palsu," katanya.

TPM tawar analisis halal




oleh LAUPA JUNUS

Selain kandungan, bahagian luar kapsul juga perlu dianalisis untuk mengesahkan halal atau sebaliknya.

Isu halal semakin diperkatakan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di global. Ia bukan sahaja melingkari kehidupan komuniti Islam dunia tetapi masyarakat seluruh dunia , apatah lagi jumlah populasi masyarakat Islam semakin meningkat

Dalam konteks masyarakat Islam, ia bukan setakat persoalan makanan sahaja tetapi turut melibatkan satu cara hidup dan sebagai simbol jaminan kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Halal juga tidak hanya melibatkan produk makanan semata-mata tetapi merangkumi industri perbankan dan kewangan, pentadbiran dan penghasilan barangan kegunaan harian yang lain.

Malah dalam penghasilan produk makanan juga keseluruhan rantaian proses penghasilan makanan tersebut harus dipastikan halal.

Ini termasuklah penggunaan bahan mentah, mesin pemprosesan yang digunakan, bahan pembungkusan produk siap, penstoran produk siap hinggalah kepada penggunaan kontena atau kenderaan yang tidak bercampur dengan produk yang diragui status halalnya ketika proses penghantaran produk siap ke premis jualan.

Dari segi perkhidmatan seperti perbankan dan kewangan, status halal sesebuah pakej yang ditawarkan dapat dipastikan melalui pengawasan terperinci terhadap sistem pentadbiran serta pengoperasian sesebuah institusi kewangan itu.

Oleh itu, bagi memastikan sesebuah produk pengguna itu tidak mengandungi unsur-unsur yang haram, pemantauan secara fizikal tidak memadai.

Analisis saintifik yang jitu dan terperinci perlu dijalankan untuk menyokong serta mengukuhkan lagi status halal atau haram sesebuah produk itu.

Bagaimanapun, di Malaysia, persoalan halal banyak berkisar tentang pengeluaran sijil dan bagi mengeluarkan sijil halal, ujian atau analisis perlu dijalankan terlebih dahulu

Di Malaysia, antara makmal yang menjalankan ujian halal termasuk Jabatan Kimia, Institut Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) dan terbaru TPM Biotech Sdn. Bhd. (TPMB).

Sejajar dengan keperluan semasa, Technology Park Malaysia melalui anak syarikatnya, TPMB. turut menawarkan perkhidmatan analisis halal bagi memenuhi permintaan tempatan serta di peringkat antarabangsa.

Perkhidmatan analisis halal yang di tawarkan oleh syarikat terbabit merangkumi pengesanan jujukan DNA khinzir melalui kaedah biologi molekul, serta pengesanan dan penentuan kandungan logam berat, alkohol dan mikroorganisme dari sampel produk melalui kaedah GC-MS, ICP-MS dan bakteria identifikasi.

Menurut Penolong Pengurus TPMB, Nor Amin Mohd. Noor, pihaknya terlibat dengan ujian halal sejak 2008 dengan pewujudan Makmal Analisis Halal yang mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2010 selepas berjaya mendapat pengiktirafan ISO 17025.

Beliau berkata, kos pembangunan kaedah analisis halal di makmal berkenaan mencecah RM100,000 tidak termasuk peralatan.

"Makmal kami diberi sijil pentauliahan pada tahun 2010 dengan kos kelengkapan makmal hampir RM 1.5 juta," ujarnya.

Analisis-analisis yang ditawarkan oleh TPMB kata beliau merupakan analisis asas kepada penentuan status halal dan toyyiban sesuatu produk itu.

TPMB mempunyai kemudahan makmal yang agak lengkap termasuklah memiliki alatan yang membolehkan pengesanan bahan yang diharamkan, sentiasa memastikan analisis yang dilakukan sentiasa menepati syarat yang diperlukan.

Kaedah analisis halal yang TPMB gunakan adalah yang telah memperoleh pengiktirafan akreditasi ISO 17025 dari Jabatan Standard Malaysia.

Skop akreditasi ISO 17025 yang diperolehi oleh TPMB ialah untuk barangan gunaan harian, sampel makanan serta makanan haiwan yang merangkumi sampel bahan mentah, makanan diproses dan makanan pemprosesan peringkat tinggi.

Dengan menggunakan kaedah yang diiktiraf ISO 17025, TPMB sentiasa berusaha memastikan segala prosedur atau protokol yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya demi menjamin integriti keputusan yang dikeluarkan.

Ini merupakan antara usaha murni TPM dalam membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus melakukan pemantauan serta mencegah penyelewengan dalam isu halal.

Beliau berkata, penekanan utama ialah pengesanan jujukan DNA khinzir melalui kaedah analisis DNA (Deoksiribosnulekik acid) yang merupakan elemen penting dalam kehidupan organisma hidup

DNA merupakan satu elemen asas dan penting yang membolehkan sel-sel membangun dan berfungsi secara uniknya.

Melalui kajian DNA juga, kita dapat membezakan di antara suatu organisma dengan organisma yang lain.

Terdapat pelbagai cara dalam menentukan DNA bagi setiap organisma di muka bumi ini.

Di Technology Park Malaysia, kaedah yang sering digunakan adalah kaedah tindak balas berantai polymerase atau polymerase chain reaction (PCR) dan juga kaedah jujukan DNA atau DNA sequencing.

"Kami menggunakan dua kaedah PCR dalam kajian pengesanan jujukan DNA Khinzir dalam bahan mentah dan produk-produk berasaskan sumber bahan mentah dari haiwan," katanya.

Dua kaedah itu dikenali sebagai kaedah konvensional reaksi berantai polimerase (conventional PCR) dan quantitative-PCR (qPCR).

DNA akan terlebih dahulu diekstrak dan dipastikan kualiti pengekstrakan sebelum diteruskan ke kaedah pengesanan PCR bagi menentukan kehadiran unsur haiwan atau lebih spesifik haiwan khinzir di dalam sesuatu produk itu.

"Sekiranya sesuatu produk itu diragui atau menunjukkan kemungkinan adanya unsur khinzir, maka kami akan meneruskan dengan pengklonan produk DNA yang dihasilkan dari proses PCR sebelum dilakukan pengesahan melalui kaedah jujukan DNA," ujarnya.

Proses pengenalpastian bagi unsur DNA khinzir melalui kaedah pengesanan PCR and qPCR di Technology Park Malaysia mengambil masa lima hingga tujuh hari waktu bekerja.

Ini merangkumi pengekstrakan DNA sehinggalah pengenalpastian DNA menggunakan PCR atau qPCR.

Bagaimanapun katanya, bagi kes-kes tertentu yang memerlukan pengesahan lanjutan produk (verication) melalui jujukan DNA, proses akan mengambil masa sekurang-kurang 15 hingga 30 hari waktu bekerja

Ini kerana ia melibatkan proses pengklonan dan analisis DNA sequencing yang lebih terperinci.

Terdapat pelbagai teknik saintifik yang boleh digunakan bagi mengesan kehadiran unsur-unsur haram dalam sesuatu produk.

Kebanyakan teknik yang digunakan seperti PCR dan Enzyme Linked Immuno Sorbent Assay (ELISA) akan melibatkan pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) atau protein khusus untuk haiwan seperti khinzir di dalam produk makanan yang diuji.

Selain itu terdapat juga peralatan saintifik lain yang digunakan seperti Gas Chromatography Mass Spectrometry (GC-MS), yang mampu mengesan molekul-molekul seperti alkohol dan asid lemak haiwan yang terkandung di dalam sesuatu produk yang diuji.

Bagi ujian pengesanan dan pengesanan alkohol pula ia berbeza bagi setiap negara ASEAN.

Paras kandungan alkohol yang telah ditetapkan mengikut negara.

Perkataan peratusan alkohol seperti yang selalu dijadikan isu sebenarnya merupakan definisi umum sahaja.

Definisi yang tepat berkaitan dengan permasalahan ini sebenarnya ialah peratusan etanol.

Etanol merupakan salah satu ahli di dalam kumpulan alkohol dan bahan kimia inilah sebenarnya yang berperanan sebagai penyumbang kepada kemudaratan yang dikaitkan dengan minuman beralkohol atau arak.

Pengesanan kehadiran etanol dilakukan dengan menggunakan alat yang dinamakan sebagai Gas Chromatography Mass Spectrometer (GCMS).

Dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi ,masyarakat menjadi lebih sedar akan risiko yang berkaitan dengan logam berat seperti Merkuri (Hg), Arsenic (As), Plumbum (Pb) dan Cadmium (Cd) yang hadir dalam makanan dan produk-produk kesihatan.

Beliau berkata, antaranya, pemilik makmal halal seharusnya orang Islam dan kerja-kerja analisis seeloknya dijalankan oleh orang Islam.

Ini kerana JAKIM sebagai badan yang mengeluarkan sijil Halal sangat mengambil berat masalah tersebut.

Badan yang menjalankan analisis hanya mengesahkan kehadiran bahan tidak halal dalam sampel yang dihantar sebelum mendapat sijil oleh JAKIM.

Syarikat yang bertukar tangan juga perlu menghantar sampel makanan mereka untuk diuji semula status halal kerana sijil yang dikeluarkan sebelum ini batal secara automatik jika syarikat bertukar tangan.

Technology Park Malaysia telah berjaya membantu lebh 50 pelanggan untuk menjalankan analis halal dan terus menerima sambutan setakat ini ini.

Cabaran analisis halal



Oleh LAUPA JUNUS

Sampel perlu dianalisis dengan teliti dan mengikut prosedur supaya tidak timbul masalah.

DENGAN lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia, maka peningkatan permintaan bagi perkhidmatan dan produk halal menjadi satu cabaran pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin dipetik sebagai berkata, nilai pasaran produk halal di negara ini disasarkan berjumlah melebihi AS$5 bilion RM15 bilion).

Katanya, ia memberi peluang kepada pemain industri halal di negara ini untuk mengambil alih pembekalan produk halal secara berperingkat bagi memenuhi keperluan dan permintaan orang ramai.

Malaysia kata beliau menguasai satu peratus industri makanan halal global bernilai AS$680 bilion (RM2.04 trilion).

Justeru, katanya, ia boleh ditingkatkan melalui pertambahan syarikat pengeluar berbanding 1,679 syarikat sedia ada yang telah mendapat pensijilan halal pada tahun lalu.

Jumlah itu membabitkan 64 peratus produk makanan proses, penjagaan kesihatan (11 peratus), bahan-bahan produk (enam peratus) serta kosmetik dan pen.

Fakta tersebut mendorong kepada kecenderungan itu berlakunya penyelewengan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap perkembangan ini daripada permintaan tersebut

Martabak raja kena rampas




Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


KOTA BHARU – Gara-gara mempamerkan logo halal tanpa kelulusan, sebuah syarikat pembuat makanan dikenakan tindakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan semalam.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 1 tengah hari di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, dekat sini, pihak PPDNKK merampas sejumlah 500 biji martabak raja keluaran syarikat terbabit serta 13,000 kotak pembungkus yang tertera logo halal tanpa kebenaran dianggarkan bernilai hampir RM20,000.

Pengarahnya, Fauzi Haron berkata, operasi pihaknya itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) yang menerima aduan sebelum ini mengenai keraguan terhadap sijil halal beberapa produk keluaran syarikat berkenaan.

Menurutnya, syarikat itu dipercayai telah menjalankan operasi sejak dua tahun lalu dan kini mengeluarkan 12 produk makanan pelbagai jenis dan lima daripada produk berkenaan tidak mendapat kebenaran untuk mempamerkan logo halal.

Thursday, April 7, 2011

DBKL arah tutup seminggu

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 April - Kedai makan yang beroperasi di kompleks beli-belah terkemuka belum tentu bersih.

Dan, jangan pula mereka fikir kedudukan mereka di situ akan terlepas daripada pandangan pihak berkuasa, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini terbukti apabila sebuah kedai makan di MidValley Megamall telah diperintah tutup seminggu oleh DBKL baru-baru ini berikutan keadaannya yang menjijikkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Sallehudin Abu Bakar berkata, Ops Bersih itu dilakukan ke atas premis berkenaan berikutan aduan yang dikemukakan orang ramai berkaitan tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

Menurutnya, sebelum ini pihak berkuasa tempatan itu pernah mengeluarkan lebih empat kali notis dan kompaun terhadap pemilik premis berkenaan berikutan kesalahan yang sama.

"Bagaimanapun arahan tutup pada kali ini dilakukan berikutan tidak ada sikap atau keinginan untuk berubah oleh pemilik restoran selain DBKL masih terus menerima aduan daripada orang ramai mengenai keadaan premis kotor dan tidak memuaskan hati pelanggan," katanya kepada media selepas operasi itu.

Beliau berkata, pemilik kedai itu disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Makanan, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Pindaan 1981, dan selain diarahkan tutup minimum seminggu, juga boleh dikompaun sehingga RM1,000.

"Antara kesalahan termasuk penyimpanan makanan yang tidak betul, masalah lalat dan lipas, lantai serta dinding kotor dan berminyak serta pengendali makanan tidak memakai apron dan topi," katanya.

Operasi itu disertai kira-kira 10 pegawai jabatan terlibat.

Sallehudin menambah, tindakan itu turut membayangkan orang ramai tidak seharusnya terpedaya dengan premis makanan yang mempunyai ramai pelanggan, selain kedai yang beroperasi di pusat beli-belah belum tentu mengamalkan kebersihan.

"DBKL sendiri tidak berkompromi tentang soal kebersihan melibatkan premis makanan di ibu kota. Operasi akan diteruskan lagi melibatkan lokasi yang juga menjadi tumpuan ramai," ujarnya.

MPPD mahu pengusaha dapatkan sijil halal

TELUK KEMANG 3 April - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) meminta semua pengusaha premis makanan di sekitar bandar peranginan ini supaya bersikap lebih proaktif dalam usaha mendapatkan sijil serta logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Yang Dipertuanya, Abd. Wahab Shamsuddin berkata, dianggarkan hanya 190 daripada 798 premis makanan di seluruh daerah ini memperoleh pengiktirafan tersebut daripada jabatan berkenaan buat masa ini.

''Pemilikan sijil ini amat penting kerana ia akan memberi banyak kelebihan serta impak yang besar terhadap perusahaan atau premis yang diusahakan mereka.

''Ia secara tidak langsung akan membuat orang ramai lebih berkeyakinan untuk mengunjungi premis mereka walaupun ia dimiliki oleh pengusaha bukan muslim, lebih-lebih lagi di bandar ini yang sememangnya dikenali sebagai destinasi pelancongan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, premis yang diberi pengiktirafan tersebut bukan sahaja disahkan menjual serta menggunakan bahan makanan yang halal, malah nyata berkualiti daripada aspek kebersihan termasuk menjual pada harga berpatutan.

''Saya yakin, pengusaha yang mempunyai sijil ini akan dapat memperkembangkan lagi perusahaan mereka pada masa depan selain diberikan keistimewaan termasuk memudahkan lagi urusan mendapatkan sebarang pinjaman pembiayaan daripada institusi kewangan.

''Sebagai contoh lain, jika kita berkunjung ke luar negara dan melihat sesebuah kedai makanan itu ada mempamerkan tanda halal, sudah pasti kita sebagai muslim tidak akan rasa was-was untuk menjamu selera di premis terbabit," ujarnya.

Jelasnya, fenomena yang sama turut akan dirasai dan berlaku terhadap pelancong muslim dari luar negara ketika ingin mencari lokasi yang sesuai untuk menjamu selera di bandar ini.

''Kita tidak tahu pelancong itu agama apa, orang China pun ada muslim, orang Amerika pun ada yang beragama Islam, maka dengan adanya sijil halal ini mungkin tidak timbul sebarang persoalan di kalangan mereka untuk mengunjungi premis makan di sini.

''Oleh itu, saya berharap pengusaha makanan di daerah ini tidak kira sama ada pengusaha muslim atau bukan supaya berusaha mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jakim bagi membolehkan mereka memohon sekali gus memperoleh pengiktirafan tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Abd. Wahab memberitahu, sebanyak lapan premis makanan di sekitar daerah ini telah diarah ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri ekoran gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

''Kesemua premis berkenaan didapati mencatatkan jumlah markah kurang daripada 65 dalam aspek kebersihan hasil daripada pemeriksaan jabatan berkenaan baru-baru ini," katanya.

Apabila halal dan haram bercampur

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

DALAM dunia perniagaan hari ini, kita kerap berhadapan dengan situasi percampuran antara halal dan haram. Situasi ini menuntut kita mengetahui hukum mengenainya supaya harta yang kita perolehi bersih dari elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah.

Prinsip asas kepada situasi ini adalah: "Apabila bercampur halal dan haram, maka ia dikira haram."

Contohnya, institusi-institusi perbankan Islam berhadapan dengan masalah ini apabila terdapat pendeposit yang membuka akaun di institusi berkenaan bekerja di tempat yang haram seperti kelab malam atau premis perjudian.

Masalah ini juga dihadapi oleh pengendali takaful apabila terdapat pihak yang ingin menyertai pelan-pelan takaful bekerja di tempat yang haram atau syarikat-syarikat yang mempunyai aktiviti yang bercampur.

Sebagai individu yang hidup bermasyarakat, kita juga tidak dapat lari daripada situasi ini.

Antaranya, apabila kenalan yang bekerja di tempat yang haram menjemput kita kenduri atau jamuan. Ataupun, kenalan kita tersebut memberikan hadiah kepada kita.

Apakah boleh kita menerima undangan dan hadiah tersebut? Bagaimana pula sekiranya duit yang digunakan itu adalah hasil rasuah atau judi?

Terdapat perbezaan hukum bergantung kepada realiti serta sifat keharaman itu.

Jika harta haram itu diperolehi dengan menggunakan kaedah yang halal, maka harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh pihak yang menerimanya.

Sebagai contoh, seseorang yang bekerja dengan syarikat yang menawarkan produk-produk riba, pendapatannya adalah haram. Namun, perolehan pendapatannya itu diusahakan melalui cara dan kaedah yang harus iaitu bekerja.

Maka jika individu tersebut memberi hartanya kepada pihak kedua dengan menggunakan urus niada yang halal seperti hadiah atau sedekah, maka pihak yang menerima harta berkenaan harus menggunakannya.

Ini kerana, harta haram tersebut dimiliki sendiri oleh pengusahanya dengan cara yang sah.

Imam Ibn Taimiah dalam Majmu' Fatawa mengistilahkan harta tersebut sebagai halal kerana pemilik meredai harta haram berkenaan berpindah milik kepada pihak yang mengusahakannya.

Ini bermakna, pekerja kilang arak layak mendapat gaji kerana ia berdasarkan usaha dan kerja yang dilakukan olehnya.

Dalam hal ini, pihak yang pertama tetap mendapat dosa kerana bekerja di tempat yang haram.

Namun, sesiapa yang diberi hadiah atau menerima jemputan kenduri daripada pekerja kilang arak berkenaan boleh mengambil dan menerimanya.

Dosa yang dilakukan oleh orang yang bekerja di tempat yang haram itu tidak terpalit kepada pihak yang kedua secara langsung.

Ini berdasarkan beberapa hujah. Antara dalil yang boleh menjadi rujukan adalah firman Allah SWT:

Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…(al-An'am: 164)

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a: Barirah telah diberikan daging. Rasulullah SAW datang dan bekas masakan berada di atas dapur. Lalu Nabi SAW dihidangkan dengan roti dan lauk yang telah sedia ada di rumah (tanpa hidangan daging tersebut). Rasulullah SAW bertanya, "Bukankah tadi aku melihat ada bekas masakan di atas dapur yang di dalamnya ada daging?" Mereka menjawab, "Ya, wahai Rasulullah. Daging itu ialah daging yang telah disedekahkan kepada Barirah. Kami merasa tidak senang untuk memberikan daging tersebut kepadamu (disebabkan Rasulullah tidak menerima sedekah). Lalu Baginda SAW menjawab, "Pemberiannya kepada Barirah adalah sedekah, dan pemberian Barirah kepada kita adalah hadiah". (riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa urusan pertama tiada kaitan dengan urusan kedua. Sekiranya pihak yang pertama memperolehi harta secara haram, dosa berkenaan tidak terkena kepada pihak kedua yang melakukan urusan secara halal dengan pihak yang pertama.

Mazhab Hanafi meletakkan kaedah perpindahan milik memestikan perubahan 'ain dari sudut hukum sekalipun 'ainnya adalah sama.

Patuhi piawaian produk halal

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
dan MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 6 April - Syarikat swasta perlu menepati piawaian kerajaan dalam pengeluaran produk halal untuk membolehkan hasil keluaran mereka dipasarkan ke peringkat global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesebuah syarikat tidak boleh berkembang maju dengan hanya mempunyai kapasiti pengeluaran dan bekalan yang mencukupi.

"Syarikat-syarikat di Malaysia perlu tampil mengikuti program-program yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE).

"Langkah tersebut dapat membantu pengusaha untuk berjaya dalam industri ini. Industri halal bukan sekadar menepati perundangan syariah, sebaliknya ia adalah strategi perniagaan yang amat menguntungkan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Kelapan (Mihas 2011) dan Sidang Kemuncak Penyelidikan Halal Keempat (WHRS 2011) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Ismail Sabry berkata, kerajaan menjangkakan Mihas 2011 akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada sektor pertanian dan industri kelapa sawit yang merupakan bahan utama dalam sektor pembuatan makanan halal di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan pencapaian syarikat yang terlibat dalam industri halal akan terus berkembang bagi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, antara langkah yang harus dipraktikkan oleh syarikat berkenaan ialah memanfaatkan segala sumber daripada luar dengan mewujudkan rantaian bekalan produk halal bagi membina kepercayaan pengusaha antarabangsa.

Salamfone tawar khidmat telefon syariah




KUALA LUMPUR - Salamfone Sdn. Bhd. (Salamfone) optimis terhadap perkhidmatan telekomunikasi mudah alih prabayar berlandaskan Syariah yang diperkenalkannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Salamfone, Kamshul Kasim, perkhidmatan itu dijangka menerima sambutan menggalakkan apabila rangkaian perkhidmatan diperluaskan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Salamfone yang diwujudkan pada bulan Jun tahun lalu merupakan pengendali perkhidmatan rangkaian operator mudah alih maya (MVNO) yang menggunakan rangkaian Maxis Bhd. yang pertama di dunia menyediakan produk dan perkhidmatan yang mengetengahkan kandungan Islam.

Menurut Kamshul, perkhidmatan tersebut dijangka dilanggan oleh mereka yang lebih berminat terhadap produk dan perkhidmatan berasaskan nilai-nilai Islam dalam gaya hidup masing-masing pada masa ini.

"Antara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan ialah program Infaq yang mana syarikat akan mendermakan satu sen setiap kali pelanggannya menelefon pelanggan Salamfone lain dan talian khusus yang menyediakan jawapan dalam sebarang persoalan berkaitan Islam.

"Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) inspirasi agama yang disediakan secara percuma di samping nada dering lagu-lagu nasyid," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Telur tiruan dihantar ke Kuala Lumpur untuk ujian makmal








2011/04/07
GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sudah menghantar contoh telur yang dipercayai tiruan yang diperoleh dari dua penjual telur di pasar Pulau Tikus, untuk ujian makmal di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Ku Nafishah Ku Ariffin, berkata contoh telur itu dihantar ke makmal di Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi.
"Kami akan menguji contoh telur itu dan hasil ujian dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, ini adalah kali pertama beliau berhadapan dengan kes telur tiruan sepanjang 22 tahun bekerja di jabatan itu.

Mengikut Peraturan Makanan 1985, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjual dan pengeluar telur jika telur itu disahkan tidak tulen.

"Kita perlu menunggu keputusan ujian itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya yang boleh diambil," katanya.

Sementara itu, Prof Abd Karim Alias dari Fakulti Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia, berkata beliau telah mendengar kes seumpama itu beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, semua perkara perlu diuji untuk menentukan sama ada telur tiruan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata beliau menerima aduan daripada seorang suri rumah yang membawa telur berkenaan ke pejabatnya selepas mendapati sesuatu yang mencurigakan ketika cuba memasaknya.

Siasatan yang dijalankan oleh persatuan itu mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan. - BERNAMA

95 syarikat disenarai dalam indeks makanan halal

2011/04/05
INDUSTRI makanan halal kini muncul sebagai satu lagi kelas aset dalam instrumen pelaburan susulan pelancaran indeks sulung makanan halal yang dikenali sebagai Indeks Makanan Halal Pelaburan Pasaran Diterima secara Sosial (SAMI) dan Indeks Penyertaan Halal SAMI.

Ketua Kewangan Islam Global Thomson Reuters, Rushdi Siddiqui, berkata indeks yang dilancarkan pada Forum Halal Dunia 2011 (WHF2011) yang sedang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu akan berperanan untuk sebagai penanda aras kepada pelabur yang mahukan peluang pelaburan beretika dan berlandaskan syariah.

Indeks Makanan Halal SAMI yang diusahakan oleh Thomson Reuters dan IdealRatings itu menyenaraikan 200 syarikat di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan permodalan pasaran bernilai lebih AS$100 bilion.
Sebanyak 95 syarikat yang disenarai dalam indeks itu membabitkan syarikat Malaysia yang mempunyai permodalan pasaran sebanyak AS$53 bilion, manakala yang lain terdiri dari Arab Saudi, Turki, Indonesia dan Nigeria.

"Sebelum ini, kami hanya melabur dalam syarikat dengan membeli produk yang mereka jual, namun kini kami membantu pengeluar produk halal mengembangkan perniagaan mereka," kata Rushdi.

Beliau berkata, kini 80 peratus produk makanan halal dikeluarkan negara bukan Islam dan digunakan oleh kebanyakan negara Islam. – BERNAMA

Monday, April 4, 2011

Samak bukan proses mohon sijil halal

JOHOR BAHRU: “Proses menyamak di premis berkenaan bertujuan membersihkan peralatan digunakan akibat terkena najis (gelatin babi) dan ia bukan sebahagian daripada proses memohon sijil halal,” kata Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Elias Hasran mengulas mengenai langkah pengusaha Kluang Rail Coffee mendapatkan khidmat JAJ menyamak peralatan digunakan di tiga premisnya serta sebuah lagi di Johor Bahru, Khamis lalu.

Premis itu disahkan menjual kopi mengandungi campuran bahan tulang belakang babi hasil ujian dilakukan Jabatan Kimia Johor, baru-baru ini, dan berikutan itu, Pengarah Kluang Rail Coffee, Lim Jit Tong meminta nasihat JAJ bagi menyamak.


Elias berkata, proses menyamak itu penting dalam hukum agama dan tidak boleh ditangguhkan memandangkan terdapat bahan campuran veterbrata (tulang belakang) haiwan yang memiliki kandungan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam tiga sampel serbuk kopi yang diambil di premis berkenaan pada 19 Januari lalu.

“Hasil laporan Jabatan Kimia, kami dapati ada 0.01 nanogram (NG) dalam tiga sampel serbuk kopi yang diambil iaitu daripada beg plastik kopi yang belum dibuka, sudah terbuka di dalam balang dan dan dalam bentuk uncang.


“Manakala bagi sampel mentega ia negatif bahan campuran babi, tetapi ada 0.04 peratus kandungan alkohol dalam sampel madu yang diambil.


“Bagaimanapun, hasil siasatan dan pemeriksaan kami dapati kandungan alkohol di dalam madu itu berlaku secara semula jadi dan dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, campuran alkohol yang dibenarkan dalam minuman oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah 0.01 peratus dan jika alkohol sengaja dimasukkan, hukumnya haram untuk diminum.

Industri halal bernilai RM15b Oleh Badrila Jamlus bisnes@hmetro.com.my

NDUSTRI halal di negara ini diyakini mampu menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 dengan bersandarkan kepada permintaan berterusan dan potensi pasaran produk halal di seluruh dunia.

Ketika ini sektor industri halal negara dianggarkan bernilai kira-kira RM15 bilion dan dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh lima peratus setahun.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, sektor makanan dan perkhidmatan halal ketika ini menyumbang kurang daripada dua peratus kepada KDNK negara.

“Produk halal kini menguasai kurang daripada 10 peratus jumlah dagangan dunia, sekali gus membuktikan produk halal tidak sampai kepada pasarannya sedangkan jumlah pengguna Islam di seluruh dunia kira-kira 1.7 bilion dan mempunyai potensi besar untuk meneroka pasaran China, India serta negara bukan Islam lain.


“Kami yakin permintaan terhadap produk halal semakin meningkat berikutan kesedaran orang ramai mengenai kelebihan produk halal yang bersih dan suci menerusi usaha promosi dijalankan kerajaan sejak lebih empat tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Forum Halal Dunia (WHF) ke-6 dan pelancaran Indeks Siri Makanan Halal SAMI oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, populasi penduduk Islam yang kian berkembang seluruh dunia turut mempunyai kesan besar terhadap permintaan untuk produk halal pada masa depan.

Sementara itu, Abdullah berkata penyelidikan dilakukan WHF tahun lalu mendapati, industri makanan halal dunia bernilai 1.9 trilion (AS$641 bilion) dan jika digabungkan dengan industri farmaseutikal, kosmetik dan pengembaraan, ia bernilai lebih AS$2.3 trilion (RM6.9 trilion).


Beliau berkata, sektor kewangan Islam serta industri halal turut menyaksikan pertumbuhan antara 15 dan 20 peratus setahun dan inisiatif untuk menggabungkan kedua-dua industri mampu menjadikan Malaysia sebagai peneraju di peringkat global.