Thursday, April 7, 2011

Patuhi piawaian produk halal

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
dan MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 6 April - Syarikat swasta perlu menepati piawaian kerajaan dalam pengeluaran produk halal untuk membolehkan hasil keluaran mereka dipasarkan ke peringkat global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesebuah syarikat tidak boleh berkembang maju dengan hanya mempunyai kapasiti pengeluaran dan bekalan yang mencukupi.

"Syarikat-syarikat di Malaysia perlu tampil mengikuti program-program yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE).

"Langkah tersebut dapat membantu pengusaha untuk berjaya dalam industri ini. Industri halal bukan sekadar menepati perundangan syariah, sebaliknya ia adalah strategi perniagaan yang amat menguntungkan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Kelapan (Mihas 2011) dan Sidang Kemuncak Penyelidikan Halal Keempat (WHRS 2011) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.

Ismail Sabry berkata, kerajaan menjangkakan Mihas 2011 akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada sektor pertanian dan industri kelapa sawit yang merupakan bahan utama dalam sektor pembuatan makanan halal di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan pencapaian syarikat yang terlibat dalam industri halal akan terus berkembang bagi menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, antara langkah yang harus dipraktikkan oleh syarikat berkenaan ialah memanfaatkan segala sumber daripada luar dengan mewujudkan rantaian bekalan produk halal bagi membina kepercayaan pengusaha antarabangsa.

No comments: