Monday, April 11, 2011

Perluas skop sijil halal - Jamil

Oleh Norliza Abd. Rahman
pengrarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 7 April - Badan Persijilan Halal disaran meluaskan lagi skop pensijilan halal kepada produk farmaseutikal dan logistik, selain menumpukan kepada produk makanan dan minuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam bidang perubatan terdapat ramai pemain industri yang sentiasa mencari ruang meneroka untuk mengeluarkan produk halal.

Menurutnya, barang farmaseutikal seperti besi yang hendak dimasukkan ke dalam badan manusia bagi menggantikan tulang yang patah juga misalnya, penting untuk mendapatkan persijilan halal.

"Dulu ubat-ubatan menggunakan sumber gelatin haiwan seperti babi, tetapi sekarang sudah muncul pembekal ubat yang mampu membekalkan kapsul yang halal.

"Ada orang minta sijil halal untuk minyak pelincir, saya tanya kenapa perlu dapatkan sijil halal, rupa-rupanya mekanik hendak tanya dari sudut keyakinan halal itu kerana mereka akan bersembahyang selepas memegang minyak itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Badan Persijilan Halal Luar Negara yang Diiktiraf 2011 dengan dihadiri 56 peserta dari 23 buah negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Persidangan sehari itu bertujuan berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu berkaitan pensijilan halal, terutamanya standard halal yang telah dibangunkan dan diguna pakai oleh Malaysia.

Pemahaman jelas terhadap standard itu akan memudahkan Badan Pensijilan Halal luar negara menjalankan tugas pemantauan dan pemeriksaan di rumah-rumah sembelihan dan loji pemprosesan produk berasaskan daging yang dikendalikan.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, terdapat air dari telaga dan bukit dicampur dengan air zam-zam tulen dan dijual di pasaran tempatan.

Tindakan tersebut katanya, dilakukan oleh pihak swasta yang mengambil air dari sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.

"Secara saintifiknya air galian tersebut mempunyai persamaan tertentu dengan air zam-zam dan saya tidak mahu disebabkan persamaan itu, orang ramai ditipu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta 62 penguat kuasa Jakim dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melakukan pemantauan.

"Tindakan ke atas peniaga terbabit boleh diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barang dagangan palsu," katanya.

No comments: