Thursday, April 7, 2011

DBKL arah tutup seminggu

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 April - Kedai makan yang beroperasi di kompleks beli-belah terkemuka belum tentu bersih.

Dan, jangan pula mereka fikir kedudukan mereka di situ akan terlepas daripada pandangan pihak berkuasa, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini terbukti apabila sebuah kedai makan di MidValley Megamall telah diperintah tutup seminggu oleh DBKL baru-baru ini berikutan keadaannya yang menjijikkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Sallehudin Abu Bakar berkata, Ops Bersih itu dilakukan ke atas premis berkenaan berikutan aduan yang dikemukakan orang ramai berkaitan tahap kebersihannya yang tidak memuaskan.

Menurutnya, sebelum ini pihak berkuasa tempatan itu pernah mengeluarkan lebih empat kali notis dan kompaun terhadap pemilik premis berkenaan berikutan kesalahan yang sama.

"Bagaimanapun arahan tutup pada kali ini dilakukan berikutan tidak ada sikap atau keinginan untuk berubah oleh pemilik restoran selain DBKL masih terus menerima aduan daripada orang ramai mengenai keadaan premis kotor dan tidak memuaskan hati pelanggan," katanya kepada media selepas operasi itu.

Beliau berkata, pemilik kedai itu disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Makanan, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Pindaan 1981, dan selain diarahkan tutup minimum seminggu, juga boleh dikompaun sehingga RM1,000.

"Antara kesalahan termasuk penyimpanan makanan yang tidak betul, masalah lalat dan lipas, lantai serta dinding kotor dan berminyak serta pengendali makanan tidak memakai apron dan topi," katanya.

Operasi itu disertai kira-kira 10 pegawai jabatan terlibat.

Sallehudin menambah, tindakan itu turut membayangkan orang ramai tidak seharusnya terpedaya dengan premis makanan yang mempunyai ramai pelanggan, selain kedai yang beroperasi di pusat beli-belah belum tentu mengamalkan kebersihan.

"DBKL sendiri tidak berkompromi tentang soal kebersihan melibatkan premis makanan di ibu kota. Operasi akan diteruskan lagi melibatkan lokasi yang juga menjadi tumpuan ramai," ujarnya.

No comments: