TELUK KEMANG 3 April - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) meminta semua pengusaha premis makanan di sekitar bandar peranginan ini supaya bersikap lebih proaktif dalam usaha mendapatkan sijil serta logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Yang Dipertuanya, Abd. Wahab Shamsuddin berkata, dianggarkan hanya 190 daripada 798 premis makanan di seluruh daerah ini memperoleh pengiktirafan tersebut daripada jabatan berkenaan buat masa ini.
''Pemilikan sijil ini amat penting kerana ia akan memberi banyak kelebihan serta impak yang besar terhadap perusahaan atau premis yang diusahakan mereka.
''Ia secara tidak langsung akan membuat orang ramai lebih berkeyakinan untuk mengunjungi premis mereka walaupun ia dimiliki oleh pengusaha bukan muslim, lebih-lebih lagi di bandar ini yang sememangnya dikenali sebagai destinasi pelancongan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, premis yang diberi pengiktirafan tersebut bukan sahaja disahkan menjual serta menggunakan bahan makanan yang halal, malah nyata berkualiti daripada aspek kebersihan termasuk menjual pada harga berpatutan.
''Saya yakin, pengusaha yang mempunyai sijil ini akan dapat memperkembangkan lagi perusahaan mereka pada masa depan selain diberikan keistimewaan termasuk memudahkan lagi urusan mendapatkan sebarang pinjaman pembiayaan daripada institusi kewangan.
''Sebagai contoh lain, jika kita berkunjung ke luar negara dan melihat sesebuah kedai makanan itu ada mempamerkan tanda halal, sudah pasti kita sebagai muslim tidak akan rasa was-was untuk menjamu selera di premis terbabit," ujarnya.
Jelasnya, fenomena yang sama turut akan dirasai dan berlaku terhadap pelancong muslim dari luar negara ketika ingin mencari lokasi yang sesuai untuk menjamu selera di bandar ini.
''Kita tidak tahu pelancong itu agama apa, orang China pun ada muslim, orang Amerika pun ada yang beragama Islam, maka dengan adanya sijil halal ini mungkin tidak timbul sebarang persoalan di kalangan mereka untuk mengunjungi premis makan di sini.
''Oleh itu, saya berharap pengusaha makanan di daerah ini tidak kira sama ada pengusaha muslim atau bukan supaya berusaha mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jakim bagi membolehkan mereka memohon sekali gus memperoleh pengiktirafan tersebut," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Abd. Wahab memberitahu, sebanyak lapan premis makanan di sekitar daerah ini telah diarah ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri ekoran gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
''Kesemua premis berkenaan didapati mencatatkan jumlah markah kurang daripada 65 dalam aspek kebersihan hasil daripada pemeriksaan jabatan berkenaan baru-baru ini," katanya.
No comments:
Post a Comment