PETALING JAYA 19 April - Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan latihan kepada syarikat yang berminat dalam industri halal.
MoU tersebut melibatkan empat bidang utama iaitu program latihan dan perundingan, hubungan antara agensi dan industri, pembangunan dan perkongsian ilmu serta promosi halal Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, pemeteraian MoU itu membolehkan industri halal dibangunkan secara berterusan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai industri halal.
"Sebelum ini, terdapat beberapa masalah terutama dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pensijilan halal. Dengan mendapat maklumat yang yang betul serta perkongsian pengetahuan masalah tersebut dapat diatasi.
"MoU ini adalah untuk tempoh dua tahun dan selepas itu skopnya akan dinilai semula," katanya pada sidang akhbar selepas memeterai MoU tersebut yang disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Mashitah Ibrahim.
Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.
Sehingga kini, HDC telah melakukan 482 sesi latihan kepada beberapa kumpulan sasaran dengan 10,066 syarikat telah menyertai latihan anjurannya sejak 2007.
"Jumlah peserta semakin bertambah dari tahun ke tahun, bagi suku ini sahaja seramai 3,782 peserta telah menamatkan latihan.
"Ia bukan sahaja melibatkan syarikat tempatan tetapi juga syarikat antarabangsa seperti dari Perancis, Turki dan Rusia," jelas Jamil.
Beliau menambah, kursus yang ditawarkan adalah mengikut struktur dan fokus yang diperlukan industri.
"Jakim pula berperanan menilai modul latihan HDC dalam memenuhi standard yang diperlukan.
"Modul yang ditawarkan kami adalah komprehensif bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia," katanya lagi.
sumber utusan 20april2011
No comments:
Post a Comment