Monday, April 4, 2011

Samak bukan proses mohon sijil halal

JOHOR BAHRU: “Proses menyamak di premis berkenaan bertujuan membersihkan peralatan digunakan akibat terkena najis (gelatin babi) dan ia bukan sebahagian daripada proses memohon sijil halal,” kata Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Elias Hasran mengulas mengenai langkah pengusaha Kluang Rail Coffee mendapatkan khidmat JAJ menyamak peralatan digunakan di tiga premisnya serta sebuah lagi di Johor Bahru, Khamis lalu.

Premis itu disahkan menjual kopi mengandungi campuran bahan tulang belakang babi hasil ujian dilakukan Jabatan Kimia Johor, baru-baru ini, dan berikutan itu, Pengarah Kluang Rail Coffee, Lim Jit Tong meminta nasihat JAJ bagi menyamak.


Elias berkata, proses menyamak itu penting dalam hukum agama dan tidak boleh ditangguhkan memandangkan terdapat bahan campuran veterbrata (tulang belakang) haiwan yang memiliki kandungan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam tiga sampel serbuk kopi yang diambil di premis berkenaan pada 19 Januari lalu.

“Hasil laporan Jabatan Kimia, kami dapati ada 0.01 nanogram (NG) dalam tiga sampel serbuk kopi yang diambil iaitu daripada beg plastik kopi yang belum dibuka, sudah terbuka di dalam balang dan dan dalam bentuk uncang.


“Manakala bagi sampel mentega ia negatif bahan campuran babi, tetapi ada 0.04 peratus kandungan alkohol dalam sampel madu yang diambil.


“Bagaimanapun, hasil siasatan dan pemeriksaan kami dapati kandungan alkohol di dalam madu itu berlaku secara semula jadi dan dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, campuran alkohol yang dibenarkan dalam minuman oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah 0.01 peratus dan jika alkohol sengaja dimasukkan, hukumnya haram untuk diminum.

No comments: