Monday, April 11, 2011

TPM tawar analisis halal




oleh LAUPA JUNUS

Selain kandungan, bahagian luar kapsul juga perlu dianalisis untuk mengesahkan halal atau sebaliknya.

Isu halal semakin diperkatakan bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di global. Ia bukan sahaja melingkari kehidupan komuniti Islam dunia tetapi masyarakat seluruh dunia , apatah lagi jumlah populasi masyarakat Islam semakin meningkat

Dalam konteks masyarakat Islam, ia bukan setakat persoalan makanan sahaja tetapi turut melibatkan satu cara hidup dan sebagai simbol jaminan kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Halal juga tidak hanya melibatkan produk makanan semata-mata tetapi merangkumi industri perbankan dan kewangan, pentadbiran dan penghasilan barangan kegunaan harian yang lain.

Malah dalam penghasilan produk makanan juga keseluruhan rantaian proses penghasilan makanan tersebut harus dipastikan halal.

Ini termasuklah penggunaan bahan mentah, mesin pemprosesan yang digunakan, bahan pembungkusan produk siap, penstoran produk siap hinggalah kepada penggunaan kontena atau kenderaan yang tidak bercampur dengan produk yang diragui status halalnya ketika proses penghantaran produk siap ke premis jualan.

Dari segi perkhidmatan seperti perbankan dan kewangan, status halal sesebuah pakej yang ditawarkan dapat dipastikan melalui pengawasan terperinci terhadap sistem pentadbiran serta pengoperasian sesebuah institusi kewangan itu.

Oleh itu, bagi memastikan sesebuah produk pengguna itu tidak mengandungi unsur-unsur yang haram, pemantauan secara fizikal tidak memadai.

Analisis saintifik yang jitu dan terperinci perlu dijalankan untuk menyokong serta mengukuhkan lagi status halal atau haram sesebuah produk itu.

Bagaimanapun, di Malaysia, persoalan halal banyak berkisar tentang pengeluaran sijil dan bagi mengeluarkan sijil halal, ujian atau analisis perlu dijalankan terlebih dahulu

Di Malaysia, antara makmal yang menjalankan ujian halal termasuk Jabatan Kimia, Institut Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) dan terbaru TPM Biotech Sdn. Bhd. (TPMB).

Sejajar dengan keperluan semasa, Technology Park Malaysia melalui anak syarikatnya, TPMB. turut menawarkan perkhidmatan analisis halal bagi memenuhi permintaan tempatan serta di peringkat antarabangsa.

Perkhidmatan analisis halal yang di tawarkan oleh syarikat terbabit merangkumi pengesanan jujukan DNA khinzir melalui kaedah biologi molekul, serta pengesanan dan penentuan kandungan logam berat, alkohol dan mikroorganisme dari sampel produk melalui kaedah GC-MS, ICP-MS dan bakteria identifikasi.

Menurut Penolong Pengurus TPMB, Nor Amin Mohd. Noor, pihaknya terlibat dengan ujian halal sejak 2008 dengan pewujudan Makmal Analisis Halal yang mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2010 selepas berjaya mendapat pengiktirafan ISO 17025.

Beliau berkata, kos pembangunan kaedah analisis halal di makmal berkenaan mencecah RM100,000 tidak termasuk peralatan.

"Makmal kami diberi sijil pentauliahan pada tahun 2010 dengan kos kelengkapan makmal hampir RM 1.5 juta," ujarnya.

Analisis-analisis yang ditawarkan oleh TPMB kata beliau merupakan analisis asas kepada penentuan status halal dan toyyiban sesuatu produk itu.

TPMB mempunyai kemudahan makmal yang agak lengkap termasuklah memiliki alatan yang membolehkan pengesanan bahan yang diharamkan, sentiasa memastikan analisis yang dilakukan sentiasa menepati syarat yang diperlukan.

Kaedah analisis halal yang TPMB gunakan adalah yang telah memperoleh pengiktirafan akreditasi ISO 17025 dari Jabatan Standard Malaysia.

Skop akreditasi ISO 17025 yang diperolehi oleh TPMB ialah untuk barangan gunaan harian, sampel makanan serta makanan haiwan yang merangkumi sampel bahan mentah, makanan diproses dan makanan pemprosesan peringkat tinggi.

Dengan menggunakan kaedah yang diiktiraf ISO 17025, TPMB sentiasa berusaha memastikan segala prosedur atau protokol yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya demi menjamin integriti keputusan yang dikeluarkan.

Ini merupakan antara usaha murni TPM dalam membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus melakukan pemantauan serta mencegah penyelewengan dalam isu halal.

Beliau berkata, penekanan utama ialah pengesanan jujukan DNA khinzir melalui kaedah analisis DNA (Deoksiribosnulekik acid) yang merupakan elemen penting dalam kehidupan organisma hidup

DNA merupakan satu elemen asas dan penting yang membolehkan sel-sel membangun dan berfungsi secara uniknya.

Melalui kajian DNA juga, kita dapat membezakan di antara suatu organisma dengan organisma yang lain.

Terdapat pelbagai cara dalam menentukan DNA bagi setiap organisma di muka bumi ini.

Di Technology Park Malaysia, kaedah yang sering digunakan adalah kaedah tindak balas berantai polymerase atau polymerase chain reaction (PCR) dan juga kaedah jujukan DNA atau DNA sequencing.

"Kami menggunakan dua kaedah PCR dalam kajian pengesanan jujukan DNA Khinzir dalam bahan mentah dan produk-produk berasaskan sumber bahan mentah dari haiwan," katanya.

Dua kaedah itu dikenali sebagai kaedah konvensional reaksi berantai polimerase (conventional PCR) dan quantitative-PCR (qPCR).

DNA akan terlebih dahulu diekstrak dan dipastikan kualiti pengekstrakan sebelum diteruskan ke kaedah pengesanan PCR bagi menentukan kehadiran unsur haiwan atau lebih spesifik haiwan khinzir di dalam sesuatu produk itu.

"Sekiranya sesuatu produk itu diragui atau menunjukkan kemungkinan adanya unsur khinzir, maka kami akan meneruskan dengan pengklonan produk DNA yang dihasilkan dari proses PCR sebelum dilakukan pengesahan melalui kaedah jujukan DNA," ujarnya.

Proses pengenalpastian bagi unsur DNA khinzir melalui kaedah pengesanan PCR and qPCR di Technology Park Malaysia mengambil masa lima hingga tujuh hari waktu bekerja.

Ini merangkumi pengekstrakan DNA sehinggalah pengenalpastian DNA menggunakan PCR atau qPCR.

Bagaimanapun katanya, bagi kes-kes tertentu yang memerlukan pengesahan lanjutan produk (verication) melalui jujukan DNA, proses akan mengambil masa sekurang-kurang 15 hingga 30 hari waktu bekerja

Ini kerana ia melibatkan proses pengklonan dan analisis DNA sequencing yang lebih terperinci.

Terdapat pelbagai teknik saintifik yang boleh digunakan bagi mengesan kehadiran unsur-unsur haram dalam sesuatu produk.

Kebanyakan teknik yang digunakan seperti PCR dan Enzyme Linked Immuno Sorbent Assay (ELISA) akan melibatkan pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) atau protein khusus untuk haiwan seperti khinzir di dalam produk makanan yang diuji.

Selain itu terdapat juga peralatan saintifik lain yang digunakan seperti Gas Chromatography Mass Spectrometry (GC-MS), yang mampu mengesan molekul-molekul seperti alkohol dan asid lemak haiwan yang terkandung di dalam sesuatu produk yang diuji.

Bagi ujian pengesanan dan pengesanan alkohol pula ia berbeza bagi setiap negara ASEAN.

Paras kandungan alkohol yang telah ditetapkan mengikut negara.

Perkataan peratusan alkohol seperti yang selalu dijadikan isu sebenarnya merupakan definisi umum sahaja.

Definisi yang tepat berkaitan dengan permasalahan ini sebenarnya ialah peratusan etanol.

Etanol merupakan salah satu ahli di dalam kumpulan alkohol dan bahan kimia inilah sebenarnya yang berperanan sebagai penyumbang kepada kemudaratan yang dikaitkan dengan minuman beralkohol atau arak.

Pengesanan kehadiran etanol dilakukan dengan menggunakan alat yang dinamakan sebagai Gas Chromatography Mass Spectrometer (GCMS).

Dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi ,masyarakat menjadi lebih sedar akan risiko yang berkaitan dengan logam berat seperti Merkuri (Hg), Arsenic (As), Plumbum (Pb) dan Cadmium (Cd) yang hadir dalam makanan dan produk-produk kesihatan.

Beliau berkata, antaranya, pemilik makmal halal seharusnya orang Islam dan kerja-kerja analisis seeloknya dijalankan oleh orang Islam.

Ini kerana JAKIM sebagai badan yang mengeluarkan sijil Halal sangat mengambil berat masalah tersebut.

Badan yang menjalankan analisis hanya mengesahkan kehadiran bahan tidak halal dalam sampel yang dihantar sebelum mendapat sijil oleh JAKIM.

Syarikat yang bertukar tangan juga perlu menghantar sampel makanan mereka untuk diuji semula status halal kerana sijil yang dikeluarkan sebelum ini batal secara automatik jika syarikat bertukar tangan.

Technology Park Malaysia telah berjaya membantu lebh 50 pelanggan untuk menjalankan analis halal dan terus menerima sambutan setakat ini ini.

No comments: