Wednesday, July 28, 2010

JAIP kuat kuasa larangan swasta keluar sijil halal

KUANTAN 27 Julai - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menguatkuasakan larangan menghalang mana-mana pihak termasuk syarikat swasta daripada mengeluarkan sijil halal kepada premis makanan dan pengilang produk makanan di negeri ini.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, larangan ini akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas pihaknya mengesan terdapat lebih 20 premis makanan dan pengilang produk makanan di negeri ini mendapatkan sijil halal daripada pihak berkenaan.

"Kami telah mengenal pasti tiga syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal yang tidak diiktiraf yang boleh didapati hanya dalam masa sehari sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bufet Halal Ramadan di Suria Cerating Resort, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Suria Cerating Resort, Shahrul Nizam Othman.

Beliau mengulas masalah kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta untuk pelbagai jenis produk makanan dan restoran sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jakim Jumaat lalu, boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal.

Kopitiam yang mendapat sijil halal daripada syarikat swasta itu diserbu Jakim selepas dipercayai mendapat bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses yang cepat dan mudah menyebabkan ramai pengusaha premis lebih senang mendapatkan sijil halal daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Pihak berkenaan mengeluarkan sijil halal dalam tempoh singkat iaitu sehari berbanding melalui JAIP yang mengambil tempoh sebulan hingga dua bulan.

"Bagaimanapun, tempoh yang lama diambil oleh JAIP adalah bagi memastikan setiap aspek harus menepati klasifikasi halal yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, arahan yang bakal digariskan itu termaktub dalam Enakmen Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang manakala pihak yang melanggar arahan tersebut akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

No comments: