Wednesday, July 28, 2010

Tutup hingga patuhi piawaian halal

Oleh SHARILFUDDIN SAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Julai - Tindakan pihak pengurusan rangkaian kopitiam terkenal, PappaRich menutup cawangannya di Kepong, semalam sehingga pihak syarikat berpuas hati dengan pematuhan piawaian halal ditetapkan.

Eksekutif Bahagian Halal, Komunikasi Korporatnya, Mohd. Nur Azrul Nordin berkata, pada masa ini, kopitiam francais milik syarikat tersebut telah diambil alih pihak korporat PappaRich.

Katanya, pihaknya turut telah mengubah suai struktur operasi kopitiam tersebut daripada pembelian sehingga penyediaan makanannya.

"Syarikat sama sekali tidak berkompromi dan memandang remeh dalam isu halal. Kita juga sedang memantau secara dekat, semua 40 rangkaian kopitiam PappaRich lain.

"Saya juga menafikan pihak korporat PappaRich menyedari dan membenarkan restoran francais miliknya itu mendapatkan sumber makanan daripada pihak tidak diiktiraf Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pihaknya menutup sementara operasi cawangan PappaRich di Kepong berkuat kuasa semalam kerana timbul keraguan terhadap operasi dijalankan pihak kopitiam itu.

Jumaat lalu, cawangan tersebut telah diserbu selepas Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli ketika melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf jabatan itu di Jinjang, Rabu lalu.

Mohd. Nur Azrul turut menjelaskan, pihak PappaRich mempunyai senarai lengkap pembekal bahan mentah yang diiktiraf oleh pihak PappaRich untuk semua rangkaian kopitiam mereka di seluruh negara.

"Operasi mereka juga tidak terjejas kerana didapati mematuhi piawaian halal ditetapkan," ujar beliau.

Mengenai siasatan Jakim terhadap cawangannya di Kepong, beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan pegawai di jabatan itu dan sedang menunggu keputusan pihak terbabit.

No comments: