Wednesday, July 28, 2010

Jangan permainkan umat Islam dengan logo halal

INDAAN Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini akan menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengusaha restoran dan kopitiam yang menipu penggunaan logo halal dalam menjalankan perniagaan mereka.

Denda mungkin melebihi RM250,000 berbanding hukuman sekarang iaitu RM100,000 terhadap individu dan RM250,000 terhadap syarikat serta masing-masing tiga tahun penjara dilihat agak rendah dan mampu dibayar oleh mereka yang terbabit.

Langkah terbaru itu sedikit sebanyak diharapkan memberi pengajaran kepada pengusaha agar tidak menyeleweng dalam perkara yang membabitkan halal haram yang sememangnya amat sensitif kepada pengguna Islam negara ini.

Pun begitu, pengalaman-pengalaman sebelum ini membuktikan walau setinggi mana pun nilai denda yang dikenakan dalam mana-mana akta yang melibatkan isu pengguna atau keselamatan orang ramai, kes-kes berkaitannya tetap akan meningkat. Contohnya, jenayah dan kemalangan jalan raya.

Sehubungan itu, ramai berpendapat, langkah menaikkan jumlah denda bukanlah satu penyelesaian muktamad dalam menangani penipuan logo halal.

Denda yang tinggi tidak memberi 'kudis' kepada pengusaha-pengusaha restoran dan kopitiam yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara kerana mampu membayarnya melalui keuntungan operasi mereka.

Jika yang menjadi isunya adalah pemberian sijil halal yang meragukan, mengapa tidak pengeluaran sijil itu diberikan hak eksklusif kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja.

Sekiranya hanya Jakim yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai pihak yang layak untuk mengeluarkan sijil halal di negara ini, maka kekeliruan yang timbul boleh diselesaikan.

Selama ini orang ramai keliru kerana pengusaha bebas memohon sijil itu daripada pihak swasta yang dikatakan boleh mengesahkan status halal dalam tempoh yang singkat.

Kerajaan digesa membuat pengumuman yang jelas, pihak mana yang patut diberi kuasa mengeluarkan sijil halal. Jika kerajaan yakin Jakim boleh dipertanggungjawabkan maka serahkan terus kuasa itu kepadanya.

Pengguna Islam sudah muak dipermain-mainkan oleh penggunaan sijil halal daripada pihak yang tidak bertauliah. Mereka juga mahu Jakim meningkatkan penguatkuasaan dengan sering melakukan pemeriksaan di restoran dan kopitiam untuk membanteras penipuan sijil halal.

Dalam pada itu, Jakim juga diminta menguruskan permohonan sijil halal dengan cekap dan cepat bagi mengelakkan pengusaha menipu untuk mendapatkannya.

Kelewatan dan prosedur yang rumit, boleh mengakibatkan pengusaha 'panjang akal' untuk menggunakan logo halal palsu sementara menunggu permohonan sijil halal mereka diluluskan.

Mana-mana restoran atau kopitiam yang melanggar peraturan perlu disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan beroperasi.

Jakim perlu bertegas dan telus dengan menyenaraikan nama restoran dan kopitiam yang tidak mematuhi peraturan ini dalam laman web jabatan itu sebagai langkah pemberitahuan kepada pengguna-pengguna Islam supaya tidak mengunjungi premis berkenaan.

No comments: