Wednesday, July 28, 2010

Jakim Tambah Jawatan Selaras Mengeluarkan Sijil Dan Logo Halal

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menambah 104 jawatan baru termasuk pakar teknologi makanan, bioteknologi, kimia dan pakar rujuk selaras dengan tanggungjawabnya mengeluarkan sijil dan logo halal.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata usaha ini adalah selaras dengan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang sedang meminda Akta Perihal Dagangan 1972 bagi memberi kuasa kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja mengeluarkan sijil dan logo halal.

Jawatan baru itu merupakan tambahan daripada 152 jawatan sedia ada, katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau yang menyambut baik usaha kementerian itu menghadkan kuasa pengeluaran sijil dan logo halal, berkata tindakan kementerian tersebut akan dapat menghentikan kuasa "pengiktirafan sendiri" di mana banyak pihak boleh mengeluarkan sijil sendiri.

"Ini tentulah tidak molek jika berlaku dalam industri besar," katanya dan menambah pihaknya akan mendapatkan kerjasama Jabatan Peguam Negara bagi meneliti dan memperkukuhkan undang-undang yang bersesuaian dengan pensijilan halal yang dijalankan oleh kedua-dua jabatan tersebut.

Pada Ahad lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Peguam Negara pada peringkat akhir menyiapkan pindaan akta itu yang dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober ini.

Mengenai isu sijil halal hotel-hotel terkemuka, Wan Mohamed berkata terdapat peningkatan permohonnan menjelang bulan Ramadan dan ia adalah tindakan yang baik hasil daripada dialog antara Jakim dan persatuan hotel.

Beliau berkata Jakim menawarkan pengeluaran sijil dan logo halal dalam tempoh yang lebih singkat kepada hotel-hotel menjelang Ramadan ini dan bagaimanapun ia masih tertakluk kepada standard prosedur operasi jabatan itu.



-- BERNAMA

No comments: