Wednesday, July 28, 2010

Prosedur mohon sijil halal tidak akan dilonggarkan

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan tidak akan melonggarkan prosedur sedia ada bagi mendapatkan sijil halal walaupun beberapa pengusaha kopitiam mendakwa peraturan tersebut merumitkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tiada sebab untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melonggar prosedur yang ditetapkan kerana soal halal adalah tuntutan agama.

"Ini bukan soal remeh-temeh, ini prosedur. Kita tidak mahu Jakim menipu rakyat dan agama jika kita bagi sijil tetapi syarikat itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Ini kewajipan, samalah kalau nak dapatkan ISO 2000, kena memenuhi kriteria prosedur ISO.

"Bila kita menyebut halal, ia bermaksud tidak boleh ada satu peratus pun perkara yang tidak halal. Dalam isu ini, semua sekali perlu dipastikan halal barulah sijil boleh dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pengusaha kopitiam supaya prosedur sedia ada dalam memohon sijil halal dipermudahkan.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung cadangan penubuhan Organisasi Zakat Antarabangsa (IZO), di sini hari ini.

Dalam pada itu Jamil Khir menempelak para pengusaha yang mengambil jalan mudah dengan mendapatkan sijil 'halal' daripada syarikat swasta, tetapi apabila masyarakat Islam hilang keyakinan, pihak berkuasa pula yang hendak dipersalahkan.

Katanya, Jakim tidak pernah mengiktiraf mana-mana syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal kerana mereka berasaskan keuntungan, berbeza dengan organisasi itu serta jabatan agama Islam negeri yang berorientasikan tuntutan agama.

"Sebab itu bila mereka pergi kepada syarikat swasta dan kemudian tengok apa yang berlaku? Syarikat swasta memang bagi sijil tetapi akhirnya ayam pun tidak disembelih, jadi adakah itu yang kita hendak?" katanya.

"Saya nak tekankan di sini, orang yang keluarkan sijil tetapi akhirnya menyebabkan keyakinan masyarakat Islam hilang, kedua-dua pihak bertanggungjawab (syarikat swasta dan pengusaha). Ini bukan lagi soal remeh-temeh tetapi menipu orang," jelasnya.

Sementara itu, mengenai cubaan untuk menghidupkan semula pergerakan Al-Arqam oleh isteri kedua Asaari Mohamad, Hatijah Aam melalui ajaran sesat Ummu Jah, beliau berkata, pihak Jakim dan jabatan agama Islam negeri sedang memantau dengan rapi perkara itu.

Ditanya sama ada Jakim akan menahan Hatijah dalam dalam masa terdekat, Jamil Khir memberitahu, pihaknya memerlukan masa bagi mengumpul segala bukti sebelum tindakan perundangan dapat diambil.
utusan malaysia

No comments: