Wednesday, July 28, 2010

Kenapa penentuan halal, haram diswastakan?

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

NASIB baik tercetus isu sebahagian besar restoran kopitiam tidak mempunyai sijil halal, kerana di sebalik isu ini terbongkar satu isu lain yang sangat besar bagi umat Islam di negara ini. Kalau tanpa isu kopitiam, saya pasti kita semua tidak tahu bahawa di negara ini soal halal haram produk dan premis makanan dilakukan oleh pihak swasta.

Sekali lagi, pihak swasta menentukan halal dan haram sesebuah premis makanan di negara ini selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kopitiam yang tidak ada sijil halal sebenarnya tidak menjadi isu. Kalau pemilik kopitiam itu merasakan premis mereka belum layak untuk mendapat status halal, tidak perlulah ada pihak yang berteriak seolah-olah akan kebuluran tidak menjamah makanan atau minuman di kopitiam.

Tetapi yang menjadi isu apabila ada sesetengah restoran itu mendapat sijil daripada syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal.

Saya percaya enam syarikat yang mengeluarkan sijil halal itu tidak muncul secara magis. Syarikat itu tentulah diberi kuasa oleh pihak tertentu untuk mengeluarkan sijil halal. Maka syarikat tersebut yang didakwa tidak teliti sebelum mengeluarkan sijil halal merupakan kesalahan yang telah dilakukan oleh pihak yang memberi kebenaran.

Pihak berkenaan membiarkan syarikat-syarikat berkenaan layak menentukan taraf halal atau haram sesebuah premis dan produk makanan.

Persoalan yang memerlukan jawapan segera ialah kenapa pengeluaran sijil halal itu perlu diswastakan dan tidak dilakukan sendiri oleh Jakim? Memang Jakim juga mengeluarkan sijil halal tetapi pengusaha premis makanan ada pilihan untuk memilih Jakim atau syarikat swasta.

Adakah Jakim tidak mampu kerana permohonan terlalu banyak sehingga hal-hal yang sensitif bagi orang Islam pun diswastakan?

Daripada senario yang tersurat, sebarang penswastaan atau memberi tugas kepada pihak swasta adalah untuk mendapatkan kecekapan yang lebih berbanding dibuat oleh agensi atau jabatan kerajaan.

Jadi, adakah memberi kuasa kepada enam syarikat untuk mengeluarkan sijil halal ini kerana Jakim tidak cekap? Atau adakah kewujudan syarikat ini kerana Jakim begitu teliti sebelum mengeluarkan sijil halal tetapi kalau memohon kepada syarikat swasta 'tidak sukar' untuk mendapatkan sijil halal?

Apa yang tersirat pula, di manakah keseriusan kita terhadap perkara-perkara yang sensitif sehingga diambil remeh?Semua orang hendak tahu siapakah yang membenarkan syarikat swasta memiliki kuasa menentukan status haram halal itu? Kalau benar Jakim tidak mampu, setiap negeri mempunyai Majlis Agama Islam masing-masing.

Tentunya sijil yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam di semua negeri jauh lebih diyakini daripada syarikat yang seolah-olah 'mencetak' pamplet promosi barangan. Kenapa tugas besar bersangkutan dengan halal haram ini tidak diberikan kepada Majlis Agama Islam di negeri-negeri?

Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar dalam Utusan Malaysia 26 Julai lalu berkata, hanya Jakim saja yang diiktiraf oleh kerajaan untuk mengeluarkan sijil halal di negara ini ketika ini. Beliau menegaskan, "Jakim mempunyai prosedur yang menepati hukum syarak sedangkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta diragui statusnya."

Jakim sendiri meragui syarikat-syarikat swasta yang dilantik mengeluarkan sijil halal tetapi kenapa Jakim tidak bertindak ke atas syarikat -syarikat yang dianggap 'meragukan' dan tidak mencapai standard untuk menyekat syarikat berkenaan memberikan status yang salah dan orang Islam menganggap logo halal itu adalah halal?

Ironinya di negara ini, logo halal pun belum tentu halalnya kerana badan seperti Jakim yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam meragui sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta. Sudah tentu syarikat-syarikat ini bukan dilantik oleh Jakim tetapi pihak mana lagi yang lebih berkuasa daripada Jakim?

Rakyat perlu diberitahu semua kekeliruan ini supaya mereka tidak menyalahkan Jakim. Rakyat juga ingin tahu adakah keperluan terlalu mendadak sehingga memaksa kerajaan memberi kuasa kepada pihak swasta menentukan soal produk dan premis halal atau haram bagi orang Islam di negara ini?

Jakim sendiri meragui standard syarikat-syarikat berkenaan kerana tidak membuat pemeriksaan secara menyeluruh dan ada permohonan dibuat dengan menelefon bertanyakan sama ada premis berkenaan terdapat alkohol atau daging babi. Tetapi Jakim membuat pemeriksaan menyeluruh sehingga ke tempat penyembelihan.

Apabila ada pihak yang menawarkan 'kemudahan' dan pihak Jakim pula mengenakan penelitian yang ketat, sudah tentulah pengusaha premis atau pengeluar produk makanan memilih yang mudah.

Maka kewujudan syarikat-syarikat berkenaan secara tidak langsung membuatkan pengusaha tidak memilih Jakim. Adakah ini dimahukan oleh pihak yang memberi kuasa kepada syarikat berkenaan?

No comments: