Wednesday, July 28, 2010

Laporkan sijil halal diragui

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 26 Julai - Umat Islam yang meragui sijil halal yang dipamerkan di kopitiam atau hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas di negeri ini perlu melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot berkata, langkah itu penting bagi memastikan hak dan kepentingan masyarakat Islam terpelihara daripada perkara-perkara haram.

Bekas Mufti Johor itu menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan perkara tersebut kerana ia mencemar syariat Islam yang sepatutnya diambil serius oleh semua pihak.

"Kita berjanji akan rahsiakan nama-nama pengadu. Sijil halal ini penting bagi umat Islam seperti sabda junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, 'setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya'.

"Jadi pemilik restoran dan pihak pengurusan hotel perlu memahami sensiviti orang Islam yang amat menitikberatkan hal ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sijil halal terutamanya membabitkan premis hotel-hotel di negeri ini yang berhasrat menyediakan jamuan berbuka puasa sepanjang Ramadan akan datang.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pihaknya akan mengenakan denda lebih tinggi melebihi RM250,000 terhadap pengusaha restoran dan kopitiam yang menipu penggunaan logo halal.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pihak JAIJ mempunyai pasukan dan jawatankuasa khas untuk memantau perkara tersebut dengan kerjasama dari kementerian berkenaan.

Setakat ini katanya, semua sijil halal yang dipamerkan di hotel negeri ini tidak perlu diragui tetapi beliau tetap menasihatkan umat Islam supaya sentiasa berhati-hati.

"Kalau merasa ragu-ragu tinggalkan atau laporkan segera kepada pihak bertanggungjawab. Bagaimanapun kita perlu bersangka baik (dengan sijil halal yang dipamerkan)," katanya.

Beliau mahu hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka yang tidak mengambil berat dengan perkara itu sebagai satu bentuk pengajaran atau pendidikan kepada pengusaha restoran lain.

No comments: