Wednesday, July 21, 2010

Kopi luwak halal


KARTA - Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa bahawa kopi musang (civet coffee) adalah halal dan boleh diminum umat Islam.

Keputusan itu diumumkan selepas MUI mengadakan perbincangan dengan wakil Nahdlatul Ulama berhubung isu kopi itu yang menimbulkan percanggahan pendapat antara pakar agama di negara berkenaan di Jakarta, kelmarin.

Wakil Nahdlatul Ulama, Arwani Faishal berpendapat bahawa minuman yang dikenali 'kopi luwak' di Indonesia adalah najis dan haram diminum.

Pengerusi MUI, Ma’aruf Amin pula mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kopi itu boleh diminum dengan syarat biji kopi berkenaan yang terkena najis binatang dicuci bersih sebelum diproses.

Kopi musang dihasilkan daripada biji kopi yang dimakan musang dan kemudian keluar dari tubuh binatang itu melalui proses penghadaman.

Biji kopi berkenaan dibersihkan dan dipanggang bagi menghasilkan serbuk kopi yang dianggap kopi paling mahal di dunia.

Kopi itu dihasilkan di Pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi serta terkenal di kebanyakan negara Asia kerana aroma yang dikatakan unik dan istimewa.

Hanya 450 kilogram kopi musang dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, sekali gus harganya boleh mencecah lebih AS$440 (RM1,414) sekilogram.

No comments: