Sunday, August 7, 2011

412 hotel seluruh negara miliki sijil halal

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sebanyak 412 hotel di seluruh negara setakat ini mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) meliputi hotel bertaraf kosong hingga lima bintang.

Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha berkata, sebanyak 108 hotel mendapat sijil itu daripada Jakim dan 307 lagi daripada JAIN.

“Saya nasihatkan kepada hotel-hotel yang belum mempunyai pensijilan halal supaya membuat permohonan. Pihak kami akan membantu mempermudahkan permohonan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tambah Othman, sebanyak 300 hotel terlibat adalah bertaraf tiga ke lima bintang, manakala baki 112 adalah dua bintang ke bawah.

Menurutnya, Sabah mempunyai jumlah hotel yang paling banyak mempunyai sijil halal iaitu 52 buah, manakala di ibu negara sebanyak 49 hotel menerima sijil itu daripada Jakim.

Untuk senarai nama hotel dan juga dapur yang halal, orang ramai boleh merujuk di portal halal Jakim di www.halal.gov.my.

No comments: