Tanah selain digunakan untuk tayamum, boleh juga digunakan untuk menyucikan najis berat. Hal ini khusus bagi anggota atau pakaian yang terkena najis berat, sama ada najis anjing atau babi atau tersentuh tubuh atau kulit bulu anjing atau babi. Bahagian anggota yang terkena najis berat ini tidak boleh disucikan dengan air semata-mata. Tanah diperlukan bagi menyucikan najis tersebut. Bagaimana caranya?
Proses penyucian ini dinamakan samak dalam istilah orang Melayu atau sertu pada sesetengah negeri. Caranya ialah bahagian terkena najis itu perlu dibasuh atau disucikan dengan air tujuh kali basuhan. Iaitu, enam kali basuhan menggunakan air mutlak dan satu basuhan dengan air yang dicampur tanah.
Cara yang mudah seperti berikut:
1) Tanah hendaklah diambil dari tempat bersih.
2) Tanah itu dicampurkan dengan sedikit air. Campuran air dan tanah itu berperanan seperti sabun, perlu digosokkan pada tempat terkena najis. Basuhan itu dikira sekali.
3) Ambil air mutlak dan siramkan ke atas bahagian berkenaan sebanyak enam kali lagi.
4) Basuhan terakhir (dikira yang ketujuh) itu adalah sebagai bilasan akhir. Inilah cara terbaik boleh dilakukan untuk bersuci.
Walau bagaimanapun, kaedah ini sebagai panduan sahaja. Anda boleh mengikuti cita rasa sendiri. Contohnya, boleh dibasuh dengan air mutlak pada basuhan pertama dan kedua, kemudian basuhan ketiga dengan air tanah. Seterusnya diikuti air mutlak sehingga basuhan cukup tujuh kali. Dalam kaedah ini, tidaklah salah kalau kita menggunakan air tanah berupa air yang telah dikacau dengan tanah. Tetapi yang baik ialah air masih ada tanahnya. Sekali gus tanah boleh menggantikan sabun. Sungguhpun begitu di zaman moden ini terdapat produk ciptaan baru di pasaran, iaitu sabun yang komponennya terdiri tanah dan air.
Menyebut istilah samak, diharapkan tidak ada terkeliru dengan samak untuk kulit binatang. Hal ini kerana istilah samak turut diguna pakai bagi proses membersihkan kulit binatang, selain kulit anjing dan babi. Dalam konteks ini, alat samak digunakan ialah bahan-bahan kesat dan tajam boleh menghilangkan lemak dan bisa pada kulit tersebut. Antaranya akar kayu, berus, pisau, kapur, garam dan seumpamanya.
Oleh kerana kedua-dua proses samak ini berlainan sama sekali, maka bahan samak bagi kedua-duanya tidak boleh ditukar ganti. Lazimnya, semua kulit itu sudah disamak mengikut cara di atas. Umat Islam tidak perlu meragui prosesnya walaupun dilakukan bukan Islam kerana proses samak kulit itu bertujuan mengelak kulit itu membusuk.
No comments:
Post a Comment