Sunday, August 7, 2011

Kek lapis Sarawak halal

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 5 Ogos - Semua pengusaha kek lapis Sarawak yang terkenal di negeri ini tidak menggunakan mentega Golden Churn Creamy Butter untuk menghasilkan produk mereka.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, mentega berjenama itu bukanlah pilihan utama untuk menghasilkan kek lapis oleh para pengusaha di negeri ini kerana harganya mahal.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat segelintir pengusaha kecil pernah menggunakan produk itu sebelum menghentikan penggunaannya sejak disahkan haram April lalu.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan para pengusaha kek lapis dan mereka memaklumkan tidak pernah menggunakan mentega itu kerana harganya lebih mahal berbanding jenama lain.

"Bagi yang pernah menggunakannya pula, mereka menyamak peralatan dan premis masing-masing serta beralih menggunakan jenama lain sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang akhbar bersama DUBS dan Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (Pengasas) mengenai isu tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pengasas, Dawi Abd. Rahman.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamy Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.

Ekoran pengesahan tersebut, reputasi pengusaha kek lapis di negeri ini dikhuatiri terjejas walaupun mereka tidak menggunakan produk berkenaan.

Abang Helmi seterusnya memberitahu, para pengusaha roti dan biskut yang terlibat dalam perkhidmatan pembekalan makanan ke sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan juga tidak pernah menggunakan mentega berjenama Golden Churn.

"Mereka tidak memilih jenama itu kerana daripada perspektif industri, penggunaannya melibatkan kos yang tinggi," katanya.

No comments: