Sunday, August 7, 2011

Hanya 22 hotel ada sijil halal

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 5 Ogos - Hanya 22 buah hotel termasuk di negeri ini yang menyajikan bufet Ramadan mempunyai sijil halal yang diperakui oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHAEAIPP).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, statistik itu diperoleh semasa pemeriksaan pihaknya ke atas 50 hotel di negeri ini.

Menurutnya, kesemua hotel tersebut yang terletak di pusat bandar, Bayan Baru, Batu Feringghi dan Seberang Perai menepati standard prosedur penyediaan bahan-bahan makanan mengikut syariah.

"Pengesahan sijil halal ini khusus bagi hotel-hotel yang menyajikan bufet Ramadan pada tahun ini, manakala tinggal 28 hotel lagi masih dalam proses pemantauan.

"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha hotel yang bertindak mengubah senarai pembekal ramuan masakan setelah lulus pemeriksaan halal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Bagi kesalahan tersebut, JHEAIPP boleh menggantung pengesahan sijil halal selama dua minggu manakala penalti enam bulan akan dikenakan sekiranya terdapat bahan-bahan terlarang digunakan seperti cuka wain atau asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam hidangan.

Jelas Faizal lagi, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri akan melakukan pemantauan berkala ke atas hotel yang menggunakan nama bufet Ramadan sebagai promosi berbuka puasa.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap premis berkenaan kerana JHEAIPP hanya membuat pengesahan persijilan halal serta pemeriksaan ke atas bahagian dapur selain menasihati pihak pengurusan hotel agar memohon sijil tersebut.

"Namun, tindakan saman akan dikeluarkan oleh pihak PPNDKK negeri mengikut peraturan-peraturan berkaitan jabatan tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak hotel agar memainkan tanggungjawab memastikan hidangan yang disediakan memiliki sijil halal.

No comments: