KUALA LUMPUR 7 Ogos - Industri halal global yang dianggarkan bernilai RM2 trilion telah membuka mata banyak syarikat di dunia untuk merebut peluang yang ada termasuk negara Thailand yang ternyata nampak kesungguhannya.
Persoalannya di mana letaknya kedudukan Malaysia, sebuah negara Islam yang mempunyai pelbagai kelebihan termasuk keupayaan untuk mengadakan piawaian halal yang diiktiraf antarabangsa dan pusat rujukan negara-negara lain.
Perlukah kita hanya sekadar berbangga menjadi pusat rujukan ketika terdapat negara-negara lain lebih bersungguh-sungguh untuk mengaut kek penguasaan pasaran lebih besar.
Adakah kita hanya mahu berfungsi sebagai pusat rujukan semata-mata dan membiarkan orang lain mengaut keuntungan besar dengan memajukan dirinya secara lebih bersepadu untuk muncul sebagai peneraju industri halal dunia.
Di Malaysia, terdapat dua agensi yang bertanggungjawab penuh terhadap pembangunan industri halal iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Halal Development Industry Corporation (HDC).
Kedua-dua agensi ini berpayung di bawah kementerian berbeza dan peranan mereka juga kadangkala mengelirukan terutama apabila timbul sesuatu isu.
Kemelut tentang persijilan halal sendiri juga tidak kesudahan apabila terdapat premis perniagaan menggunakan sijil halal yang berbeza dan apa yang kedengaran hanya amaran demi tanpa tindakan dan penyelesaian yang konkrit.
Bahkan, kalau diperhatikan kini semakin banyak barangan makanan yang menggunakan persijilan halal Thailand berada rak-rak pameran sama ada di pasar raya mini atau pasar raya besar.
Malah, baru-baru ini timbul lagi rungutan para pengusaha yang gagal mendapatkan sijil halal daripada Jakim walaupun produknya telah dijual sebagai produk halal dunia.
Persoalan kenapa mesti jadi begitu, bukankah HDC sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga bertanggung bertanggungjawab dalam membajai pertumbuhan dan penyertaan peniaga-peniaga tempatan ke pasaran halal global.
Mungkin HDC perlu lebih agresif dan ke hadapan dalam menangani persoalan itu bersama-sama Jakim mengisi sebarang lompang yang ada dalam menjana pesat perkembangan industri halal.
Ia seharusnya membantu "rakan segelanggangnya" menyedar dan menyemarakkan minat pelbagai pihak yang sebenarnya ingin menyelami industri halal tempatan tetapi gagal mendapat maklumat yang jelas.
Apa yang agak menyenangkan tetapi bukan sesuatu penyelesaian yang konkrit apabila Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberikan jaminan akan berusaha berbincang dengan pengusaha dan mencari jalan terbaik untuk memastikan industri halal tempatan kekal subur di persada antarabangsa.
Biarpun begitu, mampukah Malaysia mampu menjadi juara industri halal global ketika pemain-pemain tempatan merasakan ia gagal menawarkan penyelesaian halal secara menyeluruh.
Adakah cukup kita sekadar mengadakan taman-taman perindustrian halal di seluruh negara sedangkan isu-isu remeh temeh seperti mendapatkan sijil halal, tahap kesedaran dan penguatkuasaan masih belum selesai sepenuhnya.
Perlukah kita mengadakan penyelesaian berbentuk holistik dengan memantapkan penggunaan logo halal di dalam negara sambil turut meningkatkan bilangan syarikat menggunakan logo halal sebelum mengorak lebih jauh ke luar negara.
Kita perlu cepat bertindak kerana negara-negara jiran yang bukan negara Islam seperti Thailand pun semakin agresif menyusun langkah bagi meningkatkan bilangan syarikat untuk mendapatkan sijil halal.
Apatah lagi, negara itu juga berazam mahu menjadi negara pengeksport makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Amat malang sekali jika satu masa nanti Malaysia hanya sekadar dipandang pusat rujukan tetapi syarikat-syarikat tempatan gagal untuk memanfaat faedah daripadanya secara menyeluruh.
No comments:
Post a Comment