Tuesday, August 2, 2011

Dilema pengusaha kek lapis Sarawak

KUCHING: Pengusaha kek lapis di Sarawak yang dikatakan menjadi pengguna utama mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan itu, kini dalam dilema apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tenusu itu tidak halal selepas dikesan mengandungi asid deoksiribonuklik (DNA) babi, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas bagi membincangkan status mentega itu yang turut membabitkan beberapa agensi berkaitan.


Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) dan Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai penggunaan mentega itu.

“Sebelum ini, kebanyakan pengguna keliru apabila Jakim mengatakan mentega itu halal, manakala Jais mengesahkan ia mengandungi DNA babi.


“Saya berharap keputusan yang dicapai tadi (semalam) akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai status mentega itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Mengenai kesan keputusan itu terhadap industri kek lapis Sarawak yang menggunakan produk tenusu dalam produknya, Wan Ahmad Uzir berkata, Jais akan mengeluarkan logo halal bagi kek lapis yang tidak menggunakan mentega berjenama berkenaan.

“Apabila logo halal itu digunakan, orang ramai tidak perlu lagi was-was ketika membeli kek lapis Sarawak kerana Jais sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan pengusaha tidak lagi menggunakan mentega itu,” katanya.


Isu DNA babi dalam mentega terbabit timbul selepas Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, mengesannya dan mengeluarkan amaran kepada pengguna Islam, pada 18 Mei 2011

No comments: