Thursday, August 25, 2011

Makmal swasta dibenar ujian halal

Pengusaha produk makanan akan dibenarkan menggunakan kemudahan makmal swasta bagi mendapatkan status halal bagi pengujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk produk makanan keluaran mereka.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersama pengusaha industri kecil dan sederhana serta pengusaha dalam industri halal.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusof berkata kebenaran itu hanya akan diberikan kepada makmal swasta yang memenuhi piawaian dan mempunyai kelengkapan setaraf dengan Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

"Keputusan itu diambil bagi mempercepatkan lagi keputusan status halal sesuatu produk dapat diketahui selain memberi peluang kepada pengusaha industri menghantar terlebih dahulu sampel produk sebelum dihantar ke Jabatan Kimia.

"Kebenaran berkenaan juga antara penambahbaikan yang dibuat kerana kadangkala Jabatan Kimia lambat dan apabila keputusan keluar didapati negatif jadi tidak adil pula untuk pengusaha industri," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau berkata Jakim sentiasa menyediakan peluang untuk pengusaha berkomunikasi bagi urusan mendapatkan persijilan halal tetapi pada masa yang sama kepentingan Islam dan umat Islam tidak dikompromi sama sekali.

Pada pertemuan itu, pengusaha industri makanan juga dibenarkan untuk melantik wakil bagi mengadakan perbincangan dengan Jakim mengenai ujian DNA dalam produk keluaran mereka serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

No comments: