KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Para pengusaha keropok lekor di negeri ini diminta memohon sijil halal bagi meningkatkan kepercayaan pengguna selain membuka peluang untuk menembusi pasaran eksport.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Rozali Saleh berkata, sehingga kini hanya dua daripada 30 pengusaha keropok lekor yang berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memiliki sijil manakala tujuh pengusaha lagi dalam proses permohonan.
Katanya, pemilik sijil halal bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan para pengguna terhadap produk yang dikeluarkan malah dapat membantu melariskan sesuatu produk.
"Seperti yang kita maklum terdapat ratusan pengusaha keropok lekor di negeri ini yang masih belum memohon sijil halal di atas beberapa faktor seperti tiada lesen perniagaan, sumber pembekal tiada sijil halal serta kekangan modal menambah baik premis.
"Namun kita berharap dengan kerjasama yang diwujudkan bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) melalui Petugas Khas Pemudahcara Pernigaaan (Pemudah), proses untuk mendapatkan sijil halal lebih mudah dan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan dan Logo Halal Malaysia dekat sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MAMPU merangkap Timbalan Pengerusi Focus Group Pengurusan Pensijilan Halal (FGPPH), Dr. Mazlan Yusoff.
Pada majlis itu, dua pengusaha keropok lekor iaitu Sariah Ismail, 52, daripada KY Food Industries Sdn. Bhd dan Zakiah Othman, 56, (Keropok House Dungun Gallery) menerima sijil halal.
Dalam pada itu, Mohd. Rozali meminta agar pengusaha keropok lekor tidak mempertikaikan saranan pihaknya agar mereka memohon sijil halal demi menjamin kualiti bahan makanan tersebut.
"Mungkin ada yang berpendapat produk halal ialah bahan yang dijual tidak mengandungi sebarang bahan haram namun konsep halal adalah lebih daripada isi kandungan sahaja.
"Setiap aspek harus diambil kira termasuk keadaan dapur, tempat memproses, bahan yang diambil daripada pembekal sehinggalah proses pengangkutan harus dipastikan halal," ujarnya.
Sementara itu, penerima sijil halal, Zakiah yang telah mengusahakan perusahaan keropok lekor lebih 30 tahun gembira apabila akhirnya perusahaannya memperolehi sijil halal.
Katanya, sijil halal itu memudahkan perancangannya untuk mengeksport keropok keping.
"Sebelum ini kita ada mendapat tempahan dari Arab Saudi dan beberapa negara lain jadi dengan sijil halal ini saya dapat mengembangkan perniagaan untuk tujuan eksport," jelasnya.
No comments:
Post a Comment