Sunday, August 7, 2011

Memo Editor Isu ujian makmal oleh JAKIM terhadap produk untuk tujuan pengesanan DNA babi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memberi penjelasan berkenaan perkara ini.

Terlebih dahulu JAKIM ingin memaklumkan bahawa dalam pelaksanaan pensijilan halal, pengambilan sampel produk atau bahan ramuan untuk diuji berdasarkan dua faktor iaitu berasaskan keraguan atau aduan mengenai sesuatu produk atau bahan ramuan.

Keraguan yang dimaksudkan adalah seperti sekiranya terdapat penemuan positif DNA babi dalam sesuatu produk yang tidak mempunyai sijil halal dari mana-mana badan yang diiiktiraf, produk-produk yang seumpama dengannya juga akan diuji secara rawak bagi mengelakkan keraguan
dalam memberi pensijilan halal.

Kesemua sampel produk yang diambil oleh JAKIM akan dihantar untuk tujuan analisis ke Jabatan Kimia Malaysia yang telah mendapat akreditasi bagi skop pengujian DNA.

Dalam melaksanakan ujian bagi sesuatu produk oleh sesebuah makmal, faktor-faktor seperti kaedah pengujian (method), tahap pengesanan (limit of detection), peralatan yang digunakan, juru analisis dan akreditasi terhdap skop pengujian memainkan peranan yang penting dan dalam masa yang sama mempengaruhi keputusan ujian.

Berdasarkan faktor-faktor ini, JAKIM sehingga kini hanya bergantung kepada keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia sebagaimana juga yang diamalkan oleh Jabatan kerajaan yang lain seperti KPDNKK.

Sehubungan itu, untuk penjelasan lanjut mengenai teknik-teknik pengujian dan sebagainya perlulah mendapat penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Kenyataan Media
Haji Othman Mustapha
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments: