KUALA LUMPUR 24 Ogos - Beberapa pusat penyembelihan ayam di ibu negara dikesan lebih mementingkan keuntungan kerana mengabaikan aspek kebersihan dan pematuhan halal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turun padang memeriksa tiga premis penyembelihan ayam tanpa sijil halal, awal pagi ini.
Dalam pemeriksaan mengejut mulai pukul 4 hingga 6 pagi di dua pusat penyembelihan ayam di Jinjang dan sebuah di Pasar Borong Selayang itu, ketiga-tiga premis itu langsung tidak menjaga kebersihan.
Meskipun dua daripada premis didapati mematuhi syarat iaitu menggunakan khidmat penyembelih bertauliah, namun apa yang membimbangkan adalah tiada pemeriksaan dibuat terhadap ayam-ayam yang telah disembelih.
Memburukkan lagi keadaan, apabila pemeriksaan mendapati hanya dua penyembelih ditugaskan untuk menyembelih 4,000 ekor ayam dalam tempoh dua jam.
Jailani ketika ditemui semasa operasi itu berkata, ketiadaan pemeriksaan dilakukan terhadap ayam-ayam yang selesai disembelih mungkin mengakibatkan ada yang terlepas pandang ayam yang disembelih secara tidak betul.
Katanya, meskipun ada peningkatan kesedaran di kalangan pengusaha pusat penyembelihan akan keperluan ayam disembelih mengikut syarat tetapi ia tidak mencukupi jika mereka mengabaikan beberapa aspek terutama kebersihan.
"Dalam pemeriksaan ini, kita dapati setiap ayam yang telah disembelih tidak dilakukan pemeriksaan, malah pisau yang digunakan juga tidak dibasuh setiap kali sembelihan.
"Ayam juga didapati ada yang tidak sihat atau berkemungkinan berpenyakit, malah ayam yang mati dilonggok atas lantai," katanya.
Menurut Jailani lagi, kebanyakan pusat penyembelihan tidak memohon sijil halal kerana tidak bersedia untuk mematuhi syarat yang dikenakan, termasuklah menjaga kebersihan premis.
Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap ayam pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri juga menyebabkan pengusaha agresif menghabiskan stok ayam sehingga mengabaikan aspek halal dan kebersihan.
No comments:
Post a Comment