Thursday, August 25, 2011

Pusat sembelih ayam diserbu

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
BUKIT MERTAJAM 24 Ogos – Sejak 20 tahun lalu sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar di Taman Bukit Kecil dekat sini berselindung di sebalik plastik pembungkus yang berlogokan halal milik sebuah syarikat beralamat di Segambut, Kuala Lumpur.

Namun rahsia pusat yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak itu terbongkar apabila diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pusat sembelihan terbabit didapati tidak memisahkan langsung ruang sembelihan untuk orang bukan Islam dan orang Islam yang hanya terletak kira-kira 10 meter.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pusat pemprosesan itu tidak memiliki sijil halal mereka sendiri sebaliknya menggunakan logo halal milik syarikat lain.

“Ayam-ayam yang diproses di pusat ini dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam.

“Kita menahan 10 pekerja yang sedang memproses ayam di situ termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Faizal, dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penyembelih di kilang tersebut memiliki sijil tauliah penyembelihan yang sah namun ketika serbuan mereka didapati tidak mematuhi hukum syarak.

Jelasnya, sebanyak 3,000 ekor ayam yang telah siap diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 juga telah dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.

No comments: