KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sungguhpun telah disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), namun masih ada peniaga yang meletakkan mentega jenama “Golden Churn Pure Creamery Butter” bersama produk halal yang lain.
Tinjauan Bernama ke sebuah pasar raya di Setiawangsa mendapati produk mentega berkenaan masih dijual dan diletakkan bersama produk mentega yang lain tanpa mempamerkan logo tidak halal.
Tindakan pihak pengurusan pasar raya berkenaan yang tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam mendatangkan kemarahan pelanggan beragama Islam.
Namun pihak pengurusan pasar raya berkenaan enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara tersebut.
Seorang suri rumah Latifah Wan Talib, 53, berkata, beliau merasa kesal dan marah dengan tindakan pengurusan pasar raya itu sungguhpun berita mengenai status halal produk mentega dari New Zealand itu telah disebarluaskan menerusi media.
"Saya memang tidak bersetuju dengan ketidakpekaan pihak pasar raya di sini.
Ini isu sensitif, seharusnya mereka peka dan mengambil tindakan segera dengan menarik balik penjualan produk ini,” katanya.
Seorang pegawai bank Nor Azlina Zahri, 35, yang sudah bertahun-tahun menggunakan produk mentega Golden Churn berasa ralat dengan pengumuman oleh Jakim.
"Setiap tahun saya menggunakan mentega ini untuk membuat biskut raya, agak terkilan bila mendapat tahu produk ini tidak halal dan segala persiapan terpaksa dilakukan semula.
"Sepatutnya isu berkaitan halal haram perlu diteliti dari semasa ke semasa oleh pihak tertentu supaya kami sebagai pengguna yang beragama Islam tidak keliru dan was-was terhadap sesuatu produk,” katanya.
Sementara itu Pengurus Pasaraya Speedmart Cawangan Dataran Jelatek, Mazlan Hasbullah berkata, pasar raya berkenaan tidak pernah memasarkan produk mentega jenama tersebut atas arahan pihak pengurusan.
"Sebenarnya pihak pengedar sendiri sudah tahu halal atau haram produk yang mereka hendak pasarkan, tetapi mereka sering terlepas pandang tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment