Sunday, August 7, 2011

Jakim hanya iktiraf ujian makmal Jabatan Kimia kerana miliki peralatan tercanggih

PUTRAJAYA 4 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah menerima pakai status halal yang dikeluarkan makmal swasta sebaliknya hanya mengiktiraf ujian itu yang dilakukan di makmal milik kerajaan iaitu Jabatan Kimia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, ini kerana makmal yang terletak di Petaling Jaya itu memiliki peralatan canggih yang mampu mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) babi secara tepat.

Justeru, tegas beliau, tidak timbul dakwaan kononnya Jakim sengaja menganiaya golongan peniaga yang telah mendapatkan pengesahan halal ke atas produk mereka selepas melalui ujian di makmal swasta.

''Kita bagi peluang kepada semua peniaga tanpa mengira kaum untuk memohon sijil halal tetapi mereka tidak bolehlah pandai-pandai pergi ke makmal swasta.

"Kalau diikutkan, universiti-universiti pun ada makmal sendiri untuk buat analisis ujian DNA tetapi kita tidak iktiraf sebab kemampuan mencerakinkan (menyelidik) barangan dalam kandungan produk itu tidak sama seperti yang dimiliki Jabatan Kimia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jamil Khir menegaskan, tidak timbul langsung dakwaan kononnya pengusaha bukan Melayu disekat daripada memohon sijil halal kerana kelulusan akan diberi sekiranya produk dikeluarkan mematuhi peraturan ditetapkan.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mendakwa pengusaha makanan halal kecewa apabila permohonan sijil halal bagi produk seperti kopi, otak-otak, kepak ayam, burger ayam, sosej Taiwan, sos BBQ dan susu tepung ditolak oleh Jakim kerana mengandungi DNA babi dan anjing walaupun ujian di makmal swasta menunjukkan produk mereka halal.

Soi Lek mendakwa, selepas ujian Jakim mendapati produk tertentu tidak halal tiada ujian kedua dilakukan untuk mengesahkan keputusan ujian pertama.

Jamil Khir menegaskan, pihaknya tidak pernah menganiaya mana-mana pengeluar makanan sebaliknya mereka perlu memahami peraturan ditetapkan dan tidak beranggapan bahawa semua ujian makmal adalah sama.

"Sebagai contoh, kita boleh tengok klinik pakar mata di merata-rata tempat tetapi kerajaan hanya mengiktiraf klinik pakar mata milik Kementerian Kesihatan, begitu juga dalam situasi ini," katanya.

Menurutnya lagi, Jabatan Kimia memiliki akreditasi dalam analisis DNA dan amalan tersebut turut diamalkan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

No comments: