JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam halal dengan kos RM17 juta dekat Pandan di sini, nyata masih gagal dimanfaatkan pemborong ternakan itu di bandar raya ini.
Keadaan itu menyebabkan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam (3P) Sdn Bhd milik MBJB dekat Pandan itu ketika ini hanya mengendalikan sembelihan dan memproses 15,000 ekor ayam sehari, berbanding keupayaannya operasi hariannya mencapai 80,000 ekor.
Pengurus Pentadbiran dan Korporat 3P, Md Nazir Harasad, berkata ketika ini setiap hari pihaknya menerima tempahan menyembelih dan memproses 15,000 ayam itu daripada lima pemborong sekitar bandar raya.
“Kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan supaya kewujudan pusat berkenaan tidak sia-sia dan dapat dimanfaatkan masyarakat.
“Sekarang, operasi di sini hanya menggunakan 20 peratus daripada keupayaan yang ada berikutan tidak ramai pemborong yang menghantar bekalan ayam untuk diproses di sini, " katanya ketika menerima lawatan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor dan Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor (PPBNJ).
Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan, dibersih secara dimandikan terlebih dulu, sebelum diperdengarkan bacaan zikir yang membantu menenangkan ternakan terbabit. Ayam kemudian disembelih penyembelih bertauliah rakyat tempatan sepenuhnya.
Setiap ayam yang disembelih dan diproses di pusat berkenaan mempunyai tanda halal yang dikeluarkan Jabatan Agama Johor (JAJ) menerusi tag yang dipasang pada bahagian kepak yang turut tertera beberapa maklumat mengenai pemilikan serta tanda ia dikendalikan oleh 3P.
Difahamkan, selain 3P yang dikendalikan MBJB, sebuah lagi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam hidup yang diiktiraf serta mendapat sijil halal JAJ di bandar raya ini ialah Pusat Penyembelihan Ayam Kempas.
Md Nazir berkata, selain berusaha menarik perhatian pemborong supaya menghantar ayam untuk disembelih di situ, pihaknya juga mencadangkan supaya MBJB meningkatkan penguatkuasaan terhadap pusat sembelihan haram yang mendedahkan pengguna khususnya umat Islam terhadap ayam tidak disembelih sempurna dan tidak halal.
Katanya, mereka juga bercadang meminta JAJ menghentikan pengeluaran ‘tauliah sembelih’ di sekitar bandar raya ini selain menyediakan kursus wajib kepada penjual ayam dan memuatkan isu ayam halal dalam Khutbah Jumaat.
Bendahari Majlis Penyelaras Gabungan NGO Johor, Zaini Atan, berkata pihaknya mengalu-alukan operasi pusat sembelihan seperti 3P yang membantu melindungi pengguna khususnya umat Islam dalam mendapatkan barangan makanan khususnya ayam halal.
“Penguatkuasaan bersepadu pelbagai agensi penting bagi memastikan pemborong mematuhi arahan dan tidak lagi menghantar ayam ke pusat sembelihan tidak diiktiraf dan tidak mempunyai sijil halal JAJ.
No comments:
Post a Comment